Kestabilan Dan Kemakmuran, Dari Johor ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO telah membuat keputusan untuk menjadikan ‘Kestabilan dan Kemakmuran’ sebagai tema utama dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Barisan Nasional (BN).

Ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Hasni Mohammad, kestabilan merupakan ramuan utama dan paling penting dalam menjamin kemakmuran sesebuah negara serta kelancaran sesebuah pentadbiran.

“Masih segar dalam ingatan saya, bagaimana Johor tidak berupaya untuk mentadbir dengan baik kerana sentiasa tertakluk pada belas kasihan politik kepartian.

“Meskipun pada waktu itu kita telah melaksanakan tiga pakej rangsangan ekonomi bernilai lebih daripada RM400 juta dan membuka semula sempadan Johor-Singapura secara berkala, namun pemulihan pasca COVID-19 memerlukan mandat yang stabil dan pentadbiran yang kukuh.

“Johor sedar bahawa usaha memulihkan sosio-ekonomi rakyat Johor perlu didasari kepercayaan yang utuh rakyat kepada kerajaan,” katanya menerusi dalam satu kenyataan di Facebook.

Tambahnya lagi, kita dapat melihat bagaimana mandat yang diterima pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini telah membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai inisiatif pro-rakyat dengan lebih responsif, yakin dan konsisten.

“Malaysia pula harus menyedari bahawa, dalam mendepani cabaran-cabaran masa hadapan, negara ini memerlukan kestabilan. Maka, kepada rakyatlah mandat dikembalikan.

“Alhamdulillah, UMNO dan Barisan Nasional telah berjaya memenangi kerusi-kerusi DUN Johor melebihi dua pertiga majoriti. Ia merupakan pencapaian yang bermakna bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada rakyat Johor dan negeri amnya,” ujarnya.

Seterusnya, Hasni berkata pihaknya akan memberi komitmen yang terbaik untuk kemenangan kerusi-kerusi Parlimen yang ditandingi BN di negeri itu dalam PRU-15 nanti.

“Ini kerana, Johor perlukan representasi yang lebih besar di Persekutuan.

“Representasi yang lebih besar akan membantu memacu kemakmuran negeri selari dengan Ikhtiar Barisan Nasional Johor dan agenda-agenda pembangunan negeri yang lain.

“Saya percaya, kita akan bersama-sama lakukannya sekali lagi. I believe, together we will do it again,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.