Persiapan Jentera Ke Arah PRU15, Manifesto BN ‘Kestabilan Dan Kemakmuran’

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang bermesyuarat malam tadi telah mengarahkan persiapan semua jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 di peringkat Parlimen dan DUN komponen BN.

Dalam kenyataan media selepas mesyuarat tersebut, malam tadi, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan bahawa Dewan Tertinggi BN bersetuju tema utama manifesto bagi PRU15 ialah ‘Kestabilan dan Kemakmuran’.

“BN komited untuk memastikan kebajikan rakyat diperkasa dan kedaulatan negara terus terpelihara dengan penawaran polisi-polisi bersifat pro-rakyat dalam memacu pembangunan sosioekonomi yang mapan dan menyeluruh,” katanya.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN berlangsung malam tadi di ibu pejabatnya, Menara Dato Onn, di sini dengan dihadiri oleh Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Presiden-Presiden Parti Komponen dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Dewan Tertingginya.

“Dewan Tertinggi menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Baginda untuk membubarkan Parlimen selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagaimana termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Dewan Tertinggi mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian menjalankan mesyuarat koordinasi gerak kerja jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.”

Kata Dr Zambry, perundingan pembahagian kerusi antara Parti Komponen dan Friends of BN akan dimuktamadkan.

“Dewan Tertinggi bersetuju dengan usaha-usaha untuk mengetengahkan calon-calon baharu yang mempunyai nilai Winnable, Acceptable dan Likeable (WALI) dan berazam untuk mencapai 30 peratus calon Wanita,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.