Kembali Tular Surat Palsu, Ibu Pejabat UMNO Nafi Pemecatan Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Hari ini tular kembali dalam media sosial surat yang palsu menyatakan bahawa UMNO melucutkan keahlian Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan surat terbabit ditandatangani oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, Ibu Pejabat UMNO menafikan kewujudan surat terbabit yang kembali ditularkan biarpun bertarikh 11 Jun 2021 dan penafian pernah dibuat sebelum ini.

Antara kandungan surat palsu ini menyatakan bahawa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bersidang pada 11 Jun 2021 telah memutuskan bahawa Hishammuddin dilucutkan keahlian kerana telah melanggar fasal 20.8 (a), (b), (c) dan (g) dalam Perlembagaan UMNO.

Memetik kenyataan pada 11 Jun 2021, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mempersoalkan tujuan seorang atau sesuatu kumpulan mencipta berita atau cerita atau surat palsu atau fake news?

Malah katanya, tiada mesyuarat MKT UMNO pada tarikh terbabit dan tidak pernah dijadualkan pun ada mesyuarat itu.

Begitu juga dengan petikan kenyataan oleh Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan yang menafikan UMNO telah melucutkan keahlian Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Hishammuddin. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.