Jarang Ada Pusat Mengundi Tenggelam… Banjir Atau Tidak, SPR Berpengalaman – Wan Ahmad

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berpandangan soal banjir bukan isu besar jika berlaku dalam keadaan pilihan raya berlangsung kerana SPR sudah berpengalaman tentang perkara itu.

Menurutnya, rakyat sebagai pengundi jangan risau kerana SPR akan melaksanakan sebaiknya jika situasi berlaku banjir dengan memberi bantuan-bantuan yang sewajarnya.

“Saya pasti jarang pusat mengundi sekolah-sekolah tenggelam apatah lagi pilihan raya ini tidak berlaku dalam musim tengkujuh. Mengikut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) musim tengkujuh akan bermula pada hujung November.

“Sekarang ini rakyat berdepan dengan masalah ekonomi dan kehidupan maka itu diadakan pilihan raya untuk rakyat menilai dan memilih sebuah kerajaan yang baharu. Tak payahlah cakap kepentingan rakyat sekarang sebab itu adalah tanggungjawab semua.

“Memanglah kalau parti politik ada yang tak nak pilihan raya kerana sebab-sebab tertentu, sebab kurang bersedia, nak berkempen lebih dan mereka memberi alasan banjir yang paling ‘convenient’ sekali, kerana apa alasan yang ada. Zaman sekarang lagi canggih dengan perhubungan yang lebih cepat dan tidak nampak isu banjir sebagai perkara yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi laman facebook UMNO Online, malam tadi yang dimoderatorkan oleh Datuk Dr Noor Azizan Abd Majid. 

Seterusnya, jelas Wan Ahmad, SPR juga tentunya telah teliti sekolah-sekolah sebagai tempat pusat mengundi dengan rapi apatah lagi dengan parti-parti politik bertelagah soal banjir ini.

“Mengikut pengalaman, SPR peka perkara ini dan kekangan faktor cuaca ini diberi perhatian sepenuhnya. Kalau sekadar hujan air mengalir ke sungai dan sekolah-sekolah jarang berada berhampiran di kawasan sungai,” jelasnya.

Dalam masa yang sama beliau turut menekankan bahawa SPR sentiasa siap siaga menjalankan tugas masing-masing.

“Kesiapsagaan dalam menguruskan pilihan raya itu adalah ‘tip top’ sebab SPR bukan satu badan baharu yang menjalankan pilihan raya. Sudah 14 kali Pilihan Raya Umum (PRU) dilaksanakan dengan jaya dan merentangi berbagai-bagai cuaca.

“Kalau nak dibangkitkan tentang cuaca, perkara itu tak perlu dirisaukan sebab SPR sebenarnya telah memberikan latihan yang cukup kepada para petugas. Di peringkat pusat mengundi, pusat saluran dan juga di peringkat penamaan calon.

“Latihan begitu rapi dan terperinci kepada petugas tersebut seperti latihan amali sebagai contoh PDM naik air, saluran kekecohan berlaku, pergaduhan ataupun lampu padam dan semuanya telah dilalui oleh SPR. Ada SOP tatacara dan kerja yang diberi latihan kepada para petugas yang menjalankan tanggungjawab di jawatan masing-masing.”


Tegasnya, tanggungjawap SPR cukup besar kerana rakyat ingin tahu keputusan selepas mengundi.

“Pilihan raya tidak boleh gagal, kalau pilihan raya gagal… rakyat tidak tahu keputusan.

“Bila keputusan tidak dapat diumumkan dan tidak tahu parti mana yang memerintah untuk menjadi kerajaan maka tugas ini begitu besar dan SPR tidak ambil perkara remeh,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.