Negara Perlukan Kerajaan Yang Stabil, Hadapi Cabaran Ekonomi

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Pembubaran Parlimen ke-14 sudah diumumkan yang menunjukkan mandat dikembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu di Putrajaya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, dengan cabaran ekonomi besar tahun hadapan yang berpotensi menggugat keutuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, kerajaan perlu dipilih secepat mungkin supaya ianya bersedia menangani isu ini dengan perancangan awal.

“Sudah tentu beberapa tahun ke hadapan ini, isu utama yang bakal dihadapi oleh kerajaan baharu ialah bagaimana mengemudi ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi dan rancak serta bagaimana mahu mewujudkan ekonomi kalis kemelesetan dalam proses kita mengemudikannya.

“Bukan senang. Ianya memerlukan parti yang berpengalaman dan pernah menempuhi cabaran-cabaran getir ekonomi sebelumnya. Ini bukan masa untuk beretorik atau mencuba nasib. Kita tidak ada masa sebenarnya.

“Seawal Disember 2022, kerajaan yang baru perlu mengambil langkah-langkah perlu untuk menstabilkan ekonomi, mengembalikan kepercayaan pelabur dan menyediakan suasana yang kondusif untuk berniaga di Malaysia dengan dasar yang tepat dan pendekatan yang bersepadu. “We need to hit the ground running!”,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya.

Jelas Ketua UMNO Sabah Bahagian Tuaran itu lagi, kumpulan menteri berkaitan ekonomi perlu bekerja kuat dari hari pertama untuk memberi naratif atau penceritaan baharu lagi segar mengenai Malaysia kepada dunia luar.

“Menteri Kewangan, Menteri Unit Perancang Ekonomi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersama dengan Perdana Menteri mesti meletakkan agenda pemulihan keyakinan pelabur luar negara dan dalam negara sebagai agenda utama,” tegasnya.

Justeru, Abdul Rahman menyeru semua membina semula negara ini.

“Ekonomi perlu dibaiki. Hubungan kaum mesti dipertingkatkan. Gelora politik yang tidak kesudahan, wajib diredakan.

“Negara kita banyak potensi. Kita banyak kelebihan. Yang perlu sekarang adalah iltizam dan gerak kerja yang sistematik. Kita pernah mengangkat Malaysia ke persada yang tinggi, tidak mustahil kita boleh melakukannya sekali lagi dengan doa dan dokongan rakyat,” katanya.

Tambahnya, semua ini bermula dengan kestabilan dan barulah kemakmuran akan tercapai.

“Di situlah permulaannya. Itulah kata kuncinya. Di sanalah pokok pangkalnya.

“Maka itu, slogan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ini ialah ‘Kestabilan dan Kemakmuran’,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.