BN Tidak Tamak Kuasa, Yang Enggan Bubar DUN Gabungan Tamak Kuasa – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa gabungan politik tamak kuasa adalah sesuai untuk mereka yang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai agar terus kekal mempertahankan kuasa.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, BN jika tamak kuasa seperti mereka boleh tidak membenarkan negeri yang ditadbirnya tidak membubarkan DUN, namun bukan itu tujuan politik BN.

Katanya, naratif sedang dipropagandakan oleh musuh ketika ini BN tamak kuasa apabila meminta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

“’Dalil’ baharu yang bertujuan mencipta persepsi jahat terhadap BN itu terpesong jauh daripada kebenaran mengenai tujuan sesebuah pilihan raya. Pertamanya, sesebuah pilihan raya termasuk PRU-15 bermaksud menyerahkan kembali hak dan mandat kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baharu.

“PRU, kecil mahupun negeri adalah sebuah proses demokrasi melalui peti undi yang boleh disertai mana-mana parti politik atau individu yang layak. PRU-15 bukan ‘upacara’ menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada BN tanpa ada pertandingan, sebaliknya sebuah proses undian rakyat yang menentukan.

“Justeru, di manakah yang dikatakan BN tamak kuasa sedangkan yang berlaku pada PRU-15 adalah rakyat diberi mandat dan kuasa sepenuhnya untuk menentukan masa depan negara,” bidasnya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya, hari ini.

Ujar Ahmad Zahid, mereka enggan menyerahkan kembali hak dan mandat rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baharu kerana bimbang tidak dapat kekal sebagai kerajaan.

“Sanggup menyebabkan pembaziran untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berasingan gara-gara khuatir akan kehilangan kuasa.

“Alasan risiko ‘banjir besar’ juga sudah tidak lagi relevan sekiranya SPR menetapkan PRU15 berlangsung sebelum pertengahan November depan.”

Selaras dengan itu katanya, rakyat perlu menolak gabungan tamak kuasa terbabit yang jelas tidak peduli masa depan rakyat dan negara kecuali kepentingan politik mereka.

Dilaporkan, semalam Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan PRU-15 diadakan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.