Banjir Dipolitikkan … Shahril Tegaskan UMNO/BN Bantu Tidak Kira Waktu Biarpun Bukan PRU

KUALA LANGAT, 11 Okt – Naratif banjir menjadi bahan politik pihak lawan khususnya Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menidakkan tindakan pembubaran Parlimen yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Naib Presiden UMNO semalam biarpun ianya telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Dalam hal ini, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menegaskan bahawa sama ada bencana banjir berlaku semasa PRU, di luar PRU atau apa-apa musim sekalipun, UMNO/BN yang ke hadapan bagi membantu mangsa dan melakukan pembersihan.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat memaklumkan bahawa jentera pemuda tempatan sudah bersedia untuk membantu penduduk sekitar kawasan tersebut sekiranya musibah banjir melanda tidak mengira waktu.

“Ketika musibah tersebut berlaku, sudah semestinya UMNO/BN akan mengemudi serta ke hadapan bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat.

“Kuala Langat ada masalah banjir juga dan bagi kita sama ada perkara itu terjadi semasa PRU, bukan waktu PRU ataupun apa-apa musim sekalipun, UMNO/BN seperti mana di kawasan-kawasan lain, kitalah yang memimpin serta ke hadapan untuk membantu mangsa-mangsa banjir termasuk kerja-kerja pembersihan.

“Jadi, dalam hal banjir ini saya rasa kita tidak perlu nak bagitahu apa-apa pun kerana Pemuda UMNO/BN Kuala Langat sudah bersedia untuk membantu sekiranya musibah tersebut melanda,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau juga turut berkongsi sasaran UMNO/BN Bahagian Kuala Langat dalam mendepani PRU ke-15.

“Pada PRU ke-14 lalu kita bertanding empat kerusi namun kalah di keempat-empat kerusi yang ditandingi. Pada kali ini sudah semestinya kita mahukan prestasi yang lebih baik.

“Kita menyasarkan keempat-empat kerusi, setidak-tidaknya tiga daripada empat kerusi yang ditandingi. Satu Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN). Itu sasaran kita yang jelas dipimpin oleh Ketua Bahagian dan memang itu pun KPI yang kita laksanakan,” katanya lagi.

Kata Shahril lagi, adalah menjadi sasaran mereka untuk memastikan bahawa pengundi atas pagar keluar mengundi dan menjadikan UMNO/BN sebagai pilihan mereka.

“Persoalannya adalah bagaimana untuk kita mengeluarkan pengundi putih serta memastikan bahawa mereka yang atas pagar ini keluar mengundi meskipun belum membuat sebarang keputusan.

“Saya rasa ada juga golongan pengundi muda yang seperti ini iaitu memilih untuk akhirnya keluar dan mengundi UMNO/BN. Jadi itu sebenarnya matlamat kita dari segi result dan juga gerak kerja, apa yang kita perlu lakukan untuk mencapai kemenangan,” katanya lagi. – UMNO Online.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.