PRU15: Pilihan Raya Hidup Dan Mati – Shahril

PAYA BESAR, 10 Okt – Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ini merupakan pilihan raya ‘hidup dan mati’ untuk menentukan samada UMNO/Barisan Nasional (BN) dapat mengemudi negara semula ataupun sebaliknya.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berkata, disebabkan perpecahan dalaman yang berlaku di antara parti komponen Pakatan Harapan (PH), maka ini adalah peluang keemasan untuk UMNO/BN merebut peluang bagi menjadi kerajaan semula.

“Pilihan raya ini adalah penentu kepada ‘hidup dan mati kita’. Sewaktu kita kalah pada beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dahulu, tidak ada dalam kalangan kita yang memikirkan bahawasanya UMNO/BN boleh menang serta berkuasa dalam masa yang terdekat. Tetapi Allah lorongkan satu peluang kerana situasi-situasi tertentu.

“Disebabkan PH berpecah daripada dalam serta kegagalan mereka melaksanakan janji dan segala pembohongan yang mereka lakukan seperti hapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hapuskan tol dan sebagainya menyebabkan rakyat mula memberi kepercayaan semula kepada kita. Inilah masa keemasannya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Paya Besar, dekat sini, hari ini.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO itu turut berkata, sekiranya UMNO/BN terlepas peluang keemasan pada kali ini, pihak pembangkang khususnya PH akan merampas semula kuasa mereka.

“Kalau kita tidak menang pada kali ini saya yakin bahawa pihak lawan kita (PH) yang boleh menjadi alternatif akan menang. Sekiranya kita terlepas peluang kali ini, PH tidak akan mengulangi kesilapan mereka lagi.

“Kalau kita kalah, kita tidak akan dapat peluang sama dalam satu generasi untuk merasa pemerintahan UMNO/BN disebabkan perubahan demografik dan sosiopolitik yang berlaku. Apa maksudnya? Pada saat in tidak banyak lagi kerusi seperti di Pasir Salak, Pekan, Bagan Datuk dan Gerik. Mungkin lebih banyak kerusi seperti di Shah Alam, Kuantan serta Tambun yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu tetapi perbandaran politik dan kawasan akan tiba,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shahril turut menegaskan bahawa politik UMNO/BN adalah politik khidmat bakti yang tidak pernah meninggalkan rakyat dan parti itu perlu menang pada PRU kali ini.

“Politik kita adalah politik khidmat bakti yang tidak pernah meninggalkan rakyat. Kita bukan pandai menghasut seperti Rafizi Ramli maka kita perlu menang kali ini.

“Sebab itu kita mesti lakukan apa sahaja yang perlu untuk menang. Insya-Allah perubahan serta reformasi kita akan dapat memastikan satu generasi kita bangunkan semula negara ini dengan acuan UMNO/BN. Kita boleh menang,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.