PPBM Bakal Terkubur, Percubaan Dr Mahathir Dan Muhyiddin Ganti UMNO Gagal

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan percubaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sejak kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggantikan UMNO selepas pilihan raya jelas menemui kegagalan.

Katanya, ini kerana ahli UMNO yang sejati walaupun pernah tewas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), cuba diaibkan dengan pendakwaan terpilih, diugut UMNO akan dibubar tetap tidak goyang dalam mempertahankan UMNO.

“Malah sanggup mempertahankan UMNO dengan jiwa raga, walau pun ada yang menjauhi diri daripada parti, ada yang lompat parti dan ada juga menjadi musuh dalam selimut parti. UMNO tidak pernah gentar!” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu mengulas lanjut Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada masa sama meluahkan persoalan apabila individu penting dalam PPBM sendiri keluar daripada parti itu.

“Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tinggi, juga Pengerusi Biro Strategi dan dasar parti serta ahli strategis parti yang memainkan peranan bersama-sama menubuhkan parti, membangunkan cita-cita parti, mengemukakan ideologi perjuangan, malah membawa naratif dan strategi untuk dibawakan ke hadapan bagi memenangkan parti tiba-tiba bertukar arah dan umum keluar dari parti PPBM.

“Sudah pasti pakar dan ahli strategis yang pintar boleh membaca dan menjangka situasi politik semasa. Jika partinya masih relevan dan mempunyai masa depan yang cerah dan terang benderang, maka perjuangan pasti diteruskan dan terus bersama parti.

“Lebih-lebih lagi apabila parti mempunyai jawatan strategik dalam kerajaan termasuk kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) namun pakar strategis tersebut tetap dapat membaca secara tajam, meskipun PPBM ada jawatan menteri Kabinet kanan, menteri, timbalan menteri dan pegang jawatan GLC, malah jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara pun dilihat tidak ada impak terhadap negara dan parti,” ujar beliau.

Beliau bagaimanapun mengucapkan tahniah kepada individu terbabit kerana bijak membezakan parti yang relevan dan bakal menang menjelang pilihan raya umum kelak.

Jelas Ahmad Zahid, ahli lain dalam PPBM tidak mempunyai kesedaran seperti ini, melainkan terus hanyut dengan mimpi dan kepercayaan bahawa parti itu boleh memang besar dan membentuk kerajaan selepas PRU15 ini.

“Seperti yang dikatakan oleh saya sebelum ini, ada juga yang telah melompat balik ke UMNO secara terbuka dan senyap-senyap… ada juga yang mengaku telah kembali ke UMNO walaupun tak pernah diketahui UMNO bahagian.

“Ada juga yang mengaku kembali tetapi sikapnya tidak menunjukkan disiplin dan taat kepada parti tapi sikap adu domba masih ada dan jika dibiarkan akan menjadi api dalam sekam.

“Apa pun, tindakan ahli strategis dan pengasas bersama keluar dari parti merupakan satu tamparan besar kepada mereka, tentulah ada faktor yang besar yang menyebabkan beliau keluar dari parti Bersatu, ketika pilihan raya umum semakin hampir,” katanya,

Menurut beliau salah satu perkara yang dapat ditafsirkan ialah ketidakpercayaan kepada parti PPBM sendiri adalah kerana tindak tanduk pemimpin parti itu sendiri yang tidak merakyat, tidak mempunyai akar umbi yang berkuasa, jentera yang lemah, kepimpinan hanya pentingkan jawatan dan kedudukan malah tidak ada agenda perjuangan yang jelas.

“Sudah pasti, parti Bersatu hanya menguntungkan segelintir pemimpin parti dari segi jawatan kabinet sedangkan ahlinya yang sedikit terus terbiar,” sindir beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.