Pasukan Perundangan Beri Komitmen Tinggi Pada BN – Zambry

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yakin dengan kemampuan pasukan perundangan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut mengharapkan agar pasukan perundangan terus beri komitmen dan pengalaman lalu dapat mematangkan lagi pasukan ini.

“Saya berkeyakinan penuh dengan kemampuan pasukan perundangan untuk membantu BN dalam PRU15 dan bukan hanya anggapan-anggapan tetapi ianya benar-benar berlaku lalui selama ini. Terima kasih kerana memberi komitmen yang tidak berbelah bagi untuk melihat pada kali ini BN kembali memerintah dan memimpin negara.

“Kita pernah melalui saat-saat yang cukup getir apabila tewas pada PRU lalu dan ianya satu pengalaman yang cukup besar bagi BN begitu juga dalam beberapa siri pilihan raya sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) mahu pun Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor di mana BN menang dengan majoriti yang cukup besar.

“Kelompok-kelompok yang ada dalam masyarakat di negara ini sama ada golongan intelektual dan masyarakat yang biasa dapat merasai bahawa inilah parti yang perlu diberikan sokongan bagi memastikan negara ini terus stabil, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan workshop perundangan BN legal PRU15, di World Trade Centre.

Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, Setiausaha Kerja BN, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz, Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO Datuk Mohd Hafarizam Harun dan pasukan perundangan BN.

Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berkata tema kestabilan terus dikekalkan kerana hanya BN yang boleh memberikan kestabilan pada rakyat.

“BN menggunakan very simple tag line iaitu kestabilan demi kemakmuran. Pada PRN Melaka, Sarawak dan Johor turut menggunakan tag line yang sama dan pada PRU15 ini, insya-Allah akan menggunakan tema yang sama kerana negara perlukan kestabilan yang berpanjangan untuk diberikan jawapan-jawapan yang terbaik dan memastikan kehidupan rakyat dan negara dapat berjalan dengan sebaik-baiknya.

“Kita doakan sama-sama dengan kerjasama dan dokongan, insya-Allah… BN akan mengembalikan kejayaan dan seterusnya membawa nama negara ke persada dunia.

“BN belajar dari kegagalan dan kelemahan tetapi yang paling besar ialah perlu bersama-sama membawa kehidupan bernegara yang lebih stabil demi rakyat jelata didalam negara ini dan kembali berada didalam kemakmuran, kesejahteraan dan kembali dihormati dalam dasa warsa yang akan datang,” jelasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.