Parlimen Bubar: Pendirian Pemuda UMNO Sejak Politik Negara Tidak Menentu

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan pembubaran Parlimen adalah selari dengan pendirian Pemuda UMNO sejak politik negara menjadi tidak menentu.

Katanya, pembubaran ini bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih sebuah Kerajaan yang dapat menjamin kestabilan serta kemakmuran negara demi kesejahteraan mereka.

“Menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan Baginda untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.

“Sudah tentu Tuanku telah mengambil kira semua faktor termasuk setelah Tuanku sendiri mencemar duli turun mendengar sembah taklimat secara terus daripada Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai perkembangan terkini ramalan cuaca negara pada hari Khamis yang lalu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dr Asyraf yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata kini terserahlah kepada pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk menentukan tarikh PRU15 yang boleh diadakan sebelum pertengahan November iaitu sebelum menjelangnya musim tengkujuh.

“Pemuda UMNO dan BN telah pun bersiap siaga termasuk mengerahkan semua jentera di 13,205 cawangan-cawangan seluruh negara dan sukarelawan-sukarelawan Skuad Sabil di 191 Parlimen untuk menghadapi PRU15, di samping membantu rakyat sekiranya berlakunya musibah lebih awal daripada yang diramalkan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.