Momentum Kemenangan PRN Perlu Dikekalkan, Gerak Kerja Dilipat Ganda Hadapi PRU15

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar berpandangan kejayaan yang dicapai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu memberikan suntikan semangat untuk jentera parti berhadapan dengan medan lebih besar iaitu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun beliau berkata perpaduan dalam kalangan ahli parti serta komitmen gerak kerja yang terbaik perlu dilipatkan gandakan bagi mengulangi kejayaan tersebut.

“Tidak dapat saya nafikan kejayaan PRN Johor perlu dijadikan suntikan semangat dan pendorong kepada kita semua. Momentum ini harus kita kekalkan, malah gerak kerja kita semua pula perlu dilipat gandakan dalam PRU15.

“Saya sungguh yakin dan percaya dengan kekuatan yang ada pada Wanita UMNO Johor Bahru. Peranan mereka sebagai jentera induk di dalam setiap siri pilihan raya telah terbukti keberhasilannya dan tidak wajar dipersoal.

“Oleh sebab itu, saya beri jaminan kepada para perwakilan wanita bahawa kepimpinan UMNO Bahagian Johor Bahru akan sentiasa mengiktiraf peranan Wanita dan akan memastikan Wanita mendapat keperluan yang secukupnya dalam misi kita untuk merampas semula kerusi Parlimen Johor Bahru,” katanya.

Yahya berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook selepas mewakili Ketua UMNO Bahagian, Tan Sri Shahrir Samad merasmikan Persidangan Wanita UMNO Bahagian Johor Bahru di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru Uda yang berlangsung petang semalam.

Beliau pada masa sama turut mengingatkan jentera parti untuk tidak terlalu selesa dan alpa kerana kemenangan masa lalu juga adalah disebabkan bantuan daripada bahagian-bahagian seluruh negara.

“Dalam ucapan, saya tekankan kepada para perwakilan wanita bahawa PRU15 yang bakal menanti kita ini merupakan medan yang sangat berbeza daripada PRN Johor yang lepas dengan cabaran dan dugaan yang semakin hari, semakin rumit dan semakin besar.

“Jika dalam PRN Johor yang lepas kita menerima kunjungan dan bantuan daripada jentera UMNO seluruh Malaysia. Tetapi kini, mereka semua akan pulang ke kawasan masing-masing untuk berjuang bagi mencapai kejayaan yang lebih besar dan tinggallah keluarga besar UMNO Johor Bahru untuk meneruskan apa yang tergendala.

“Justeru itu, saya pesan supaya jangan sesekali kita alpa dan berasa nyaman dalam zon selesa akan kemenangan yang diperoleh ketika PRN Johor, kerana PRU15 merupakan pertempuran yang sebenar untuk kita saksikan keyakinan rakyat terhadap parti kita.

“Semoga berkat keikhlasan dan kesungguhan kita dalam berkhidmat kepada rakyat Parlimen Johor Bahru selama ini dapat membawa sinar kejayaan bagi kita pada PRU-15. Tahniah kepada Ketua Wanita UMNO Johor Bahru, Saadiah Hussin, dan ahli jawatankuasanya serta para perwakilan Wanita UMNO Johor Bahru yang telah berjaya bersidang,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.