Wanita, Pemuda, Puteri UMNO Tulang Belakang Parti… Penting Hadapi PRU15 – Rahman

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis menekankan bahawa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO adalah tulang belakang parti.

Katanya, betapa pentingnya peranan sayap ini dalam menentukan kekuatan dan menggerakkan UMNO lebih-lebih lagi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

“Hari ini saya rasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Lipis di Wisma UMNO. Tahniah diucapkan kepada semua perwakilan kerana kehadiran sangat memberangsangkan iaitu 100 peratus hadir.

“Komitmen semua sangat saya hargai dan ucapkan berbanyak terima kasih. Inilah barisan jentera paling hadapan untuk menentukan kekuatan kita dalam memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Terdahulu pada 1 Okt lalu beliau telah merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lipis yang dianggap sangat dekat di hatinya.

Dilaporkan, pelaksanaan mesyuarat Cawangan UMNO telah diadakan bermula 15 Ogos hingga 18 September diikuti persidangan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada 7, 8 dan 9 Okt sementara persidangan peringkat bahagian pula pada 14, 15 dan 16 Okt depan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.