UMNO/BN Musuh Utama? Wujudnya PPBM Pun Berasaskan Kebencian, Permusuhan

KUALA LUMPUR, 8 Okt – UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak gentar apabila Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yasin mengisytiharkan musuh utamanya adalah UMNO/BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, tegas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah Ir Abdul Aziz Julkarnain.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Kinabalu menjelaskan sewajarnya bekas perdana menteri itu harus memperbaiki tindakan-tindakannya ketika mentadbir negara sebelum ini dan bukannya membenci UMNO/BN.

“Sebagai ahli politik dan negarawan tindakan Muhyiddin adalah salah. Beliau seharusnya memikirkan tentang rakyat dan bukannya partinya. Sekiranya membenci UMNO/BN sekali pun janganlah sampai objektif dan fokusnya hanya ingin menumbangkan parti tersebut, sewajarnya beliau harus memperbaiki negara ketika memerintah dahulu.

“UMNO/BN pasti tidak akan terpengaruh dengan kenyataan-kenyataan dan provokasi daripada mereka. Fokus utama adalah berkhidmat dan mendahulukan rakyat.

“PPBM adalah parti yang berasaskan kepada kebencian dan permusuhan. Mereka berpolitik bukan melihat pada rakyat tetapi hanya berpolitik kerana ingin menjatuhkan UMNO/BN,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Seterusnya kata Abdul Aziz, kredibiliti UMNO cukup jauh berbeza dengan PPBM kerana parti ini tidak membenci mana-mana pihak malah sentiasa membantu rakyat.

“Kita tidak berpolitik hanya untuk menumbangkan atau membenci mana-mana pihak, sebenarnya UMNO/BN sentiasa berkhidmat untuk rakyat selama-lamanya.

“UMNO/BN sentiasa mendokong kemerdekaan serta menaik taraf ekonomi, pembangunan kepada rakyat selama lebih 60 tahun memerintah,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.