PH Cuba Lengahkan PRU… Takut Terima Realiti Ditolak Rakyat – Shahanim

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Pelbagai usaha yang dilakukan oleh pihak lawan terutamanya Pakatan Harapan (PH) untuk melengahkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 menunjukkan bahawa mereka belum bersedia dan takut menerima penolakan rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, lazimnya pihak lawan yang akan menggesa supaya PRU diadakan dengan segera, berbeza dengan PRU kali ini.

“Selalunya pembangkang yang mahu PRU awal sebab mereka tidak sabar untuk menjadi kerajaan, tapi terbalik pula pada kali ini.

“Mereka tidak mahu pilihan raya diadakan dengan segera kerana mereka tidak mempunyai masa untuk memfitnah pemimpin-pemimpin UMNO dengan pelbagai isu,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, PH menggunakan isu banjir bukan kerana keprihatinan mereka kepada rakyat, tetapi untuk ‘membeli’ masa bagi menaburkan fitnah kepada pimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Bukan isu masalah banjir. Cuma mereka tidak bersedia kerana mereka pernah membohong dan menipu rakyat. Rakyat dah tidak percaya sekarang ini jadi mereka takut dan tidak bersedia.

“Itu sahaja isunya sebab itu mereka tidak mahu adakan pilihan raya segera. Mereka sudah mengetahui bahawa rakyat akan menolak mereka. Jadi, sebelum ditolak rakyat, mereka mahu menaburkan fitnah dahulu,” katanya lagi.

Tambah Shahanim, meskipun UMNO/BN kalah pada PRU ke-14 lalu disebabkan pelbagai faktor, beliau yakin rakyat tidak akan mudah tertipu dengan fitnah dan janji mereka lagi.

“Macam PRU yang lalu, kita kalah ada banyak faktor. Pertamanya, disebabkan manifesto janji manis mereka yang sangat dahsyat. Kedua, disebabkan wave fitnah mereka kepada pemimpin-pemimpin UMNO seperti penyamun, perompak dan sebagainya dah masuk ke dalam kepala rakyat.

“Faktor ketiga, isu Tun Dr Mahathir. Siapa yang tidak percaya Tun Mahathir kerana beliau mantan Perdana Menteri yang hebat. Jadi, disebabkan tiga faktor ini kita kalah.

“Sekarang ini rakyat sudah tidak percaya sebab mereka telah menipu rakyat dan sekarang ini mereka mahu menipu sekali lagi. Jadi, rakyat dah bijak menilai,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.