Jadikan Pengalaman Lalu Untuk Rangka Strategi Depani PRU15 – Zulkurnain

 

PARIT SULONG, 8 Okt – Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan mengingatkan jentera parti setempat agar tidak melupakan pengalaman lalu ketika Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-14.

Jelas beliau daripada pengalaman itulah masing-masing bukan sahaja dapat memperbaiki kesilapan malah turut merangka kepelbagaian strategi dalam usaha mendepani cabaran hari ini.

“Saya lihat semangat yang hadir hari ini amat tinggi. Saya sentiasa hargai Wanita/Puteri… pengalaman lalu kita tidak boleh nafikan kerana daripada pengalaman itulah kita terus bergerak ke depan malah jangan ulangi kesilapan yang sama.

“Soal perjuangan bukan main-main dan cabaran hari ini berbeza. Tidak sama dengan yang lalu dan kita tidak boleh gunakan strategi yang sama. Kita mesti menang pada PRU akan datang dan strategi kena betul. PRN kita dah tengok bagaimana namun senarionya berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Wanita dan Puteri UMNO Parit sulong, di sini pagi tadi.

Turut serta Ketua Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Puteri UMNO Parit Sulong, Zalipah Othman serta pimpinan dan perwakilan yang lain.

Dalam perkembangan sama Zulkurnain turut mengingatkan agar masing-masing terus bersatu padu dan mengeratkan lagi permuafakatan antara satu sama lain.

“Jangan kita berpecah-belah sesama sendiri. Pimpinan di pelbagai peringkat perlu satu hati dan jangan kita pula tokok tambah. Kita jaga kita… kita jaga Parit Sulong… jaga di kawasan masing-masing dan yakinlah dengan apa yang kita buat untuk parti dan juga rakyat.

“Kita jadi penyampai kepada rakyat apa yang kita dah buat untuk mereka. Namun kita juga tidak boleh elak orang nak kompelin dan sebagainya tetapi kita buat yang terbaik untuk rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Parit Sulong, Zalipah Othman dalam ucapan aluannya menyifatkan parti itu amat terbuka apatah kepada golongan muda dan sebagainya.

Bagi beliau anak muda dan kaum hawa khususnya diberikan ruang yang luas termasuklah sebagai pembuat dasar dan sebagainya.

“UMNO sentiasa memberi ruang dan peluang kepada orang muda dan kaum hawa dalam saf kepimpinan serta sebagai pembuat dasar. Dunia politik penuh pancaroba. Kita harap anak muda yang setia bersama UMNO/BN dapat terus gembleng tenaga dan buah fikiran bagi mensasarkan kemenangan pada PRU akan datang.

“Kita perlu bangkit dari kegagalan yang lalu dan kita perlu sama-sama menarik golongan muda dengan menyatakan UMNO/BN masih relevan dengan orang muda.

“Apa pun Puteri UMNO Parit Sulong bersiap sedia… kemaskan jentera  dalam menghadapi ancaman fitnah di alam maya khususnya dan tidak leka dengan maklumat yang tidak berasas,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.