Bajet 2023 Paling Baik Sejak Zaman PH Dan PN – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki beranggapan walaupun masih ada ruang penambahbaikan, tetapi secara keseluruhan Bajet 2023 adalah yang paling baik sejak 2018 iaitu ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Dr Asyraf memberi reaksi demikian setelah menelaah teks Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat petang tadi.

Jelas Dr Asyraf menerusi catatan di Facebook, bagi golongan B40 terdapat pelbagai bantuan tunai sehingga pendapatan isi rumah RM5,000 sebulan.

“Jumlah bantuan ini mencecah RM10 bilion. Untuk M40, cukai pendapatan dikurangkan sebanyak dua peratus. Semua ini boleh menyuntik lebihan tunai yang akan dikembalikan ke dalam pasaran negara tahun hadapan,” katanya.

Begitu juga Kredit Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) diperkasakan semula dengan nilai RM9 bilion setahun hadapan.

“Ia memudahkan perniagaan bermasalah mendapat pinjaman bank sekaligus memastikan mereka terus berdaya saing. Ini asalnya adalah idea Datuk Seri Najib Razak ketika berhadapan dengan krisis global 2009 dan akhirnya terbukti berjaya,” katanya.

Merujuk kepada tuntutan Keselamatan Makanan (Food Security), Dr Asyraf melihat ia telah dipenuhi dengan baik.

“Kerajaan menambah bantuan tunai kepada nelayan, bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil dan bantuan sara diri kepada pesawah padi.

“Ini juga asalnya adalah insentif kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu yang dipotong bermula pada zaman PH. Alhamdulillah, ia dikembalikan semula kali ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, bantuan sebegitu sangat penting kerana telah terbukti berjaya meningkatkan hasil pertanian dan pengeluaran makanan negara.

“Bantuan tunai kepada nelayan contohnya telah dimulakan pada zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pada tahun 2006. Lima tahun selepas itu, tangkapan ikan negara telah melebihi keperluan dalam negara buat kali pertama dalam sejarah,” katanya.

Seterusnya ulas Dr Asyraf lagi, bajet kali ini juga agak baik kerana telah mengurangkan penggantungan kepada dividen Petronas.

“Hasil dividen Petronas kepada kerajaan tahun hadapan adalah hanya RM35b berbanding RM50b pada tahun ini.

“Perkara ini adalah amat positif setelah rizab Petronas dijarah pada zaman PH dan PN. Sedangkan pada zaman BN dahulu, pelbagai langkah telah diambil bagi mengurangkan penggantungan kerajaan kepada hasil minyak.

“Dividen Petronas kepada kerajaan hanyalah RM16 bilion bagi 2016 dan 2017. Ia kemudiannya melonjak kepada RM54b pada zaman PH (2019) sehingga menyebabkan rizab Petronas susut dan penarafan syarikat tersebut menurun,” katanya.

Justeru, Dr Asyraf berkeyakinan dengan bajet sebegini, kerajaan akan datang mampu berhadapan dengan krisis ekonomi global tahun hadapan dan memastikan kesejahteraan rakyat berpanjangan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.