Inilah Medium Kita, Gunakan Sebaiknya Untuk Parti, Perjuang Isu Rakyat – Norshida

SEGAMAT, 7 Okt – “Inilah medium kita dan inilah ruangnya untuk kita melontarkan segala pandangan dalam usaha untuk memperkukuhkan parti selain melontarkan isu-isu berkaitan rakyat.

“Inilah juga ruang untuk kita sesama ahli parti mengenepikan sebarang kepentingan politik tersendiri sekaligus membentang hati nurani rakyat di luar sana,” kata Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim.

Dalam ucapannya sempena Mesyuarat Wanita UMNO Segamat, politik hari ini cukup dinamik dan ruang yang ada ini perlu diambil kesempatan untuk bersama mencari titik persamaan antara satu sama lain.

“Gunakan kesempatan hari ini untuk beri pandangan demi kelangsungan parti yang kita sayangi. Kukuhkan ukhuwah perpaduan dan sama-sama mencari titik persamaan dan bukannya melebarkan lagi jurang perbezaan.

“Ini ruangnya untuk bentang hati nurani rakyat dengan mengenepikan nafsu kepentingan politik sendiri. Kita tahu politik hari ini yang dinamik dan tugas kita sebagai jentera perlu fokus dan hadapi liku-liku cabaran yang akan kita tempuhi nanti. Kita perlu peka dengan keadaan politik semasa dan ambil maklum hati nurani pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Wanita UMNO Segamat yang dirasmikan Ketua UMNO bahagian, Datuk Zahari Sarip.

Kata Norshida lagi yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO, strategi pengumpulan data dan sebagainya perlu dinamik dan perlu sesuai dengan suasana semasa khususnya sikap pengundi setempat.

“Undi 18 dan undi automatik pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang adalah cabaran kepada semua…malah rakyat hari ini juga terbuka dalam menyuarakan pendapat mereka, walaupun keras tetapi itulah yang kita hadapi,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan semua pihak agar saling bersatu hati dan janganlah masing-masing membuka pekung sendiri.

“Di sinilah semua sekali pimpinan pelbagai peringkat dan seluruh ahli parti bersatu hati bekerjasama antara satu lain. Jangan buka pekung di dada…dedah kepada pihak luar kerana ianya umpama memberi peluru kepada musuh,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain beliau sekali lagi mengingatkan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berbeza sama sekali dengan PRU akan datang.

“12 Mac detik bersejarah apabila Barisan Nasional (BN) diumumkan menang. saya ketika itu terkenang mengimbau PRU lalu. Kita menang di Buloh Kasap tewas tipis di Jementah..jadikan kemenangan itu sebagai pembakar semangat untuk kita memenangi Parlimen Segamat nanti.

“Apabila kita mencapai kemenangan kita sama-sama bersorak, strategi kita pelu gigihkan. Kita perlu akui cabaran PRN dan PRU berbeza. PRN sebelum ini strategi menjadi dan saling membantu antara satu dengan yang lain.

“Strategi dan semangat perlu seiring…tanpa semangat sukar untuk laksanakan strategi…data perlu dikemaskini dan ruang lingkup perlu diperluaskan lagi. Kita sama-sama libatkan keluarga besar UMNO, ajak Puteri, Pemuda dan sebagainya lagi…dan sama-sama kita bekerjasama. Jangan lupa pimpinan masyarakat setempat dan kita kembali kuat untuk menangi PRU akan datang,” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.