Bajet 2023 Komitmen Kerajaan Bagi Manfaat Keluarga Malaysia – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa syukur dan gembira dengan pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya menerusi satu hantaran di Facebook, Bajet 2023 berjumlah RM372.3 bilion itu menyaksikan peningkatan yang ketara berbanding bajet tahun lalu.

“Bajet 2023 juga memperlihatkan komitmen kerajaan menawarkan manfaat kepada Keluarga Malaysia.

“Bajet ini juga menjadi manifestasi usaha kerajaan untuk kebangkitan negara, agar menjadi sebuah negara yang unggul setelah kita mengharungi pelbagai krisis dan cabaran sebelum ini,” ujarnya lagi.

Ismail Sabri juga berharap agar usaha yang berterusan akan menjadikan negara ini lebih sejahtera, aman dan makmur.

“…dan Keluarga Malaysia mendapat penghidupan yang lebih berkualiti untuk hari-hari yang mendatang,” katanya.

Bertemakan ‘Bajet 2023: Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang membentangkan bajet tersebut pada petang tadi berkata kerajaan memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion, yang merupakan peningkatan ketara berbanding peruntukan Bajet 2022 iaitu sebanyak RM332 bilion.

Bajet ini menyediakan RM272.3 bilion bagi Belanja Mengurus, RM95 bilion bagi Belanja Pembangunan dan RM5 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19 manakala sejumlah RM2 bilion disediakan sebagai Simpanan Luar Jangka.

Berhubung perkara tersebut, dalam status yang berlainan di Facebook, Ismail Sabri berkata Bajet 2023 tertumpu kepada usaha melindungi kebajikan rakyat dengan pelbagai inisiatif dan insentif diberikan untuk semua golongan dan lapisan masyarakat di negara ini.

Antaranya adalah penambaikan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

“Untuk tahun hadapan, isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan menanggung lima orang anak atau lebih, layak menerima BKM sebanyak RM2,500. Bagi isi rumah sehingga empat orang anak, layak menerima BKM antara RM1,000 – RM2,000.

“Isi rumah berpendapatan RM2,500 – RM5,000, BKM yang disediakan antara RM500 – RM1,250 bergantung kepada bilangan anak.

“Warga emas tiada pasangan serta golongan bujang akan menerima BKM masing-masing sebanyak RM600 dan RM350 bergantung kepada had pendapatan tertentu,” tambahnya.

Begitu juga bantuan tambahan RM500 kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan akan diteruskan menjadikan mereka layak menerima bantuan maksimum sehingga RM3,000.

Selain itu, bagi meningkatkan kadar kelahiran dan mengurangkan masalah kanak-kanak bantut, di bawah inisiatif CahayaMata Keluarga Malaysia, ibu daripada isi rumah penerima BKM yang melahirkan anak pada tahun 2023 akan diberikan bantuan tunai one-off sebanyak RM500 ringgit dengan peruntukan RM150 juta. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.