Politikkan Isu Banjir: Pihak Lawan Cuba Alih Perhatian Rakyat – Mohd Sharkar
KUALA LUMPUR, 6 Okt – Isu banjir yang digunakan oleh pihak pembangkang terutamanya Pakatan Harapan (PH) untuk melengahkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dilihat sebagai salah satu cara bagi mengalihkan perhatian rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, sebenarnya mereka telah bersedia lebih awal dengan mengadakan jelajah di seluruh negara untuk menaburkan fitnah.
“Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa mereka ini (pihak pembangkang) tidak mahu mengadakan pilihan raya awal tetapi sebenarnya mereka telah bersedia dengan mengadakan jelajah satu Malaysia memberi penerangan tentang hal mereka serta menaburkan fitnah ke atas kita.
“Jadi sebenarnya pembangkang hanya cuba untuk mengalih simpati serta perhatian rakyat tentang pilihan raya ini. Apa pun perkara ini kita serahkan sahaja kepada Perdana Menteri untuk mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang itu turut mengesahkan bahawa musibah banjir selalunya akan terjadi pada bulan Disember sehingga Februari.
“Hidup saya ini tinggal di Sungai Pahang dan berada di tepi sungai ini selama-lamanya sebab saya ini orang Pahang. Banjir ini akan berlaku pada bulan Disember, Januari dan Februari. Tidak pernah lagi berlaku banjir pada bulan November.
“Sekiranya banjir berlaku pada bulan Januari dan Februari, bulan Mac dan April belum tentu lagi kita boleh buat pilihan raya kerana selepas itu kita sibuk untuk membersihkan kawasan, memberi ganti rugi dan sebagainya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohd Sharkar yakin bahawa rakyat khususnya warga Temerloh akan dapat menilai sebaiknya siapa wakil rakyat yang bekerja untuk membantu masyarakat setempat.
“Saya harap orang Temerloh dapat menilai sendiri wakil rakyat yang bertungkus-lumus bekerja untuk membantu rakyat. Kita kena ingat bahawa wakil rakyat ini penting terutama sekali ketika kita ditimpa bencana. Jadi kita harap supaya pengundi-pengundi di Temerloh dapat menilai dengan baik.
“Kita pernah ada wakil daripada Pas serta PH dan sekarang ini saya yakin mereka dapat menilai yang sebaik mungkin siapakah yang mereka patut pilih selepas ini,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman