Musuh UMNO/BN Terdesak, Takut Hilang Laba Politik, Jawatan, Kedudukan

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan tindakan bersungguh 12 menteri daripada Perikatan Nasional (PN) yang tidak berputus asa untuk mengekalkan jawatan dalam Kabinet menunjukkan betapa sayangnya mereka akan kedudukan dan jawatan yang ada pada ketika ini.

Menyifatkan sebahagian besar daripada mereka bukanlah pemimpin berwibawa, beliau turut berkata tindak tanduk yang telah dilakukan sebelum ini mengecewakan pengundi mereka sendiri.

“Ada yang kalah teruk pilihan raya, akan tetapi diangkat menjadi senator lalu dilantik sebagai menteri. Bukan sebarang menteri akan tetapi menteri kanan.

“Wakil rakyat lain puluhan tahun dipilih rakyat dan berkhidmat tidak pula dilantik menjadi menteri kanan, yang kalah pilihan raya ini pula diangkat menjadi menteri kanan… ada pula dilantik menjadi timbalan menteri.

“Sudah pasti kalangan kabinet PN yang sangat risau pilihan raya ialah ahli kabinet yang melompat parti, mereka tahu mereka akan dihukum oleh pengundi mereka sendiri.

“Pengundi marah ketika kempen PRU18 bercakap berdegar-degar dan janji pula melangit. Kata demi pengundi, demi parti disayangi. Akan tetapi apabila menang, melompat ke parti lain,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu malah berkata mereka yang bertindak lompat parti dan menjadi menteri sedar bahawa peluang untuk menang sangat tipis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau menambah disebabkan itu, sebahagian besar daripada kelompok itu cuba untuk mengekalkan kuasa, menangguhkan pilihan raya kerana khuatir berhadapan dengan kekalahan.

“Maka lebih baik kekal dengan jawatan dan kedudukan masa kini. Menikmati manfaat sebelum hilang kuasa.

“Mereka berkhianat demi mendapat laba politik, jawatan dan kedudukan… mereka juga sangat takut berdepan dengan pengundi mereka dahulu. Di mata pengundi mereka melihat mereka hidup segan, bertanding semula tak mahu,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata akar umbi, biro politik dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO berharap tidak ada dalam kalangan wakil rakyat UMNO bersubahat dengan agenda musuh UMNO/BN ini.

Tegas beliau, sekiranya ada pihak terlibat telah dikenalpasti, parti tidak akan teragak-agak untuk membuat tindakan apabila masanya tiba kelak.

“Disiplin parti UMNO/BN perlulah dipatuhi, dalam suasana menjelang pilihan raya ini jangan ada pula cuba berkhianat dan menikam UMNO dari belakang.

“UMNO/BN tidak akan berkompromi sekiranya terdapat pengkhianat parti. Biarlah katak politik parti lain, dan parti mereka sahaja masih hanyut dengan jawatan mereka sebelum mereka tewas pilihan raya kali ini,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu pada masa yang sama mengajak ahli parti untuk merapatkan saf bagi mendepani sebarang kemungkinan yang berlaku pada masa hadapan.

“Kita terus rapatkan barisan, bergerak ke depan, semarakkan obor perjuangan dan pastikan BN menang untuk kestabilan politik.

“Sebelum musuh politik kita tekankan butang tarik diri sepertimana mereka ancam Perdana Menteri kita maka kita pastikan tekan butang terlebih dahulu. UMNO dan BN tidak pernah gentar!” tegas beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.