Manfaat Kepada Rakyat Universiti, Hospital, Perumahan Wakaf Perlu Diwujud – Ahmad

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini bertanya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkenaan Pelan Induk Wakaf Nasional.

Menghargai langkah kerajaan menubuhankan pelan ini, beliau pada masa sama turut meminta penjelasan sama ada projek ini akan dibesarkan skop perancangannya iaitu melalui pembinaan pusat kesihatan, pendidikan dan lain-lain yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya terlebih dahulu ingin merakamkan ucapan tahniah kerana kerajaan menubuh dan bercadang untuk meneruskan apa yang dipanggil Pelan Induk Wakaf Nasional.

“Tentunya pertanyaan saya sekarang ini ada wakaf-wakaf yang kreatif seperti wakaf perkhidmatan air tetapi ianya hanya berskala kecil di tujuh negeri dengan pelbagai projek.

“Adakah yayasan wakaf dan agensi akan membuat projek yang lebih besar seperti universiti, hospital, perumahan wakaf?

“Setakat mana Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) ini akan ditubuhkan untuk negeri-negeri. Sekarang ini kita ada YWM, bagaimana hubungan agensi wakaf dengan negeri-negeri?,” katanya.

Beliau bertanya demikian pada pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tersebut Idris berkata penubuhan YWM ialah melalui kerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri.

“Sebagaimana kita maklum bahawanya wakaf ini ialah pihak yang berkepentingan tunggalnya adalah daripada Majlis Agama Islam Negeri ataupun pihak berkuasa agama negeri, ia terletak dalam butiran satu, senarai dua jadual ke-sembilan.

“Maka di dalam soal untuk YWM ialah kita bekerjasama dengan pihak negeri dengan pihak berkuasa agama negeri.

“Banyak peruntukan-peruntukan daripada kerajaan persekutan maka kita berikan kepada pihak berkuasa agama negeri untuk pelaksanaan wakaf di negeri masing-masing contohnya negeri memiliki tanah dan modalnya disumbangkan oleh pihak yayasan wakaf ataupun kerajaan Persekutuan,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.