Kuota Calon 30%, Wanita Terus Lipat Gandakan Usaha Demi Kejayaan BN – Hisham Suhaily

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Wanita UMNO bukan sahaja memyambut baik keputusan pimpinan parti berhubung kuota 30 peratus calon Wanita pada Pilihan Raya Umum(PRU) akan datang malah akan terus melipatgandakan lagi usaha untuk membantu parti mencapai kemenangan kelak.

Exconya Hisham Suhaily Othman berkata Wanita yang sentiasa berkhidmat untuk parti tidak akan berpeluk tubuh semata-mata malah akan terus bergerak ke depan melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Selama ini saban tahun membawa usul memperkasakan Wanita menerusi pelbagai medium sejak zaman dahulu lagi. Alhamdulillah akhirnya terlaksana pada PRU kali ini.

“Kami haraplah apabila PRU nanti kuota berkenaan dapat dicapai sekaligus merealisasikan perjuangan kita selama ini. UMNO/Barisan Nasional (BN) dilihat cukup terbuka bukan sahaja dalam soal ini malah memperkasakan Wanita dalam pelbagai aspek. Alhamdulillah,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Langkawi seterusnya berkata pelbagai pandangan selama ini terhadap Wanita nampaknya mula memperlihatkan perubahan yang amat ketara.

Jika dahulunya tambah beliau lagi, ada juga pandangan yang mengatakan calon Wanita tidak sesuai dan pelbagai pandangan lain.

“Ada yang kata berumurlah… tetapi sebenarnya perlu ada kolaborasi tua dan muda. Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Kalsom Nordin walaupun dah berusia berjaya memenangi kerusi yang ditandingi.

“Perlunya kombinasi… ada kelayakan… ada kemahiran… dan berdasarkan kriteria parti pula cukup dan diterima masyarakat serta penduduk setempat, jadi kenapa tidak ketengahkan. Alhamdulillah hari ini parti telah membuka ruang.

“Terima kasih lagi sekali kepada pimpinan parti yang memahami dan melihat soal ini sebaiknya, tetapi janganlah sekadar untuk penuhkan kuota semata-mata dan bukannya sekadar calon hanya 14 hari. Kita mahu diangkat sebagai Yang Berhormat.

“Melihat kepada aspek ini kita juga memohon kepada pucuk pimpinan agar turut melihat kawasan-kawasan yang hendak diberikan… bukan sekadar penuhkan kuota semata-mata. Insya-Allah kami akan berjuang sebaiknya,” tambahnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.