Isu Banjir: Zaidi Yakin PM Akan Lakukan Sesuatu Jika PRU Dilaksana

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Pilihan Raya Umum (PRU) tetap akan berlaku tetapi soal tentang ramalan cuaca hanya Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang boleh meramalkannya, demikian tegas Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim Mohd Zaidi Aziz.

Ini kerana katanya, MetMalaysia berperanan untuk memantau dan mengeluarkan amaran berkaitan cuaca dan bencana alam seperti hujan lebat, ribut, taufan dan sebagainya.

“Saya yakin dan percaya seandainya berlaku banjir pihak kerajaan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan melakukan sesuatu kepada rakyat.

“Dalam konteks sekarang apabila ingin melaksanakan pilihan raya, kita boleh laksanakan dan sudah tahu ramalan-ramalan cuaca yang dinyatakan.

“Kerajaan sudah pun buat persiapan khususnya MKN. Seperti contoh di negeri Perak, kerajaan negeri telah mengeluarkan kenyataan melalui susur kerajaan negeri melalui ‘district officer (pegawai daerah) sehingga ke peringkat tertinggi di Perak untuk siap siaga persiapan banjir,” katanya ketika ditemui UMNO Online di sini.

Beliau berkata, tentunya pihak (MKN) akan mengeluarkan arahan kepada semua pihak berhubung tindakan-tindakan yang perlu dilakukan dengan segera berhubung bencana banjir.

Mohd Zaidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim juga yakin penempatan anggota dan aset telah pun dihantar ke tempat yang akan berlaku banjir.

“Saya yakin bahawa persiapan banjir itu sudah bersiap. Andai kata berlakunya banjir dan sebagainya… memang kita tidak inginkan berlaku dan Insya-Allah, boleh diatasi.

“Sekiranya berlaku PRU dalam masa yang sama sudah pasti bahawa keputusan yang terbaik akan dibuat oleh pihak MKN dan Perdana Menteri juga akan buat keputusan yang terbaik pada rakyat,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau berkata PRU masa musim tengkujuh pernah berlaku pada November 1999 dan ianya tidak mustahil untuk laksanakannya.

“Saya rasa perkara ini bukan satunya yang janggal dan mustahil untuk laksanakan PRU dan juga pada masa yang sama berhadapan suasana banjir,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.