Siap Siaga Hadapi PRU15, Norliza Hargai Ketetapan 30 Peratus Calon Wanita

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia menegaskan bahawa Wanita UMNO Malaysia telah siap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang mungkin akan berlaku pada bila-bila masa.

Katanya, seandainya pembubaran berlaku dalam masa terdekat, beliau yakin jentera Wanita begitu komited dalam melaksanakan tugasan yang diberi.

“Masa semakin hampir namun kita telah bersedia. Persediaan telah dilakukan sejak tahun 2018 lagi. Kekuatan jentera telah dizahirkan secara konsisten melalui siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Bagi menghadapi PRU-15, Wanita UMNO Malaysia telah memperkemaskan strategi di setiap Parlimen,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang berkata, perjuangan dan aspirasi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad selaku Ketua Wanita UMNO Malaysia bersama seluruh barisan kepimpinannya menghargai pengiktirafan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan MKT kepada wanita.

“Setinggi-tinggi penghargaan buat Presiden Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Naib-Naib Presiden dan seluruh ahli MKT yang membuat ketetapan untuk memastikan 30 peratus yang bakal bertanding adalah daripada kaum Wanita.

“Ini merupakan satu langkah progresif dan dinamik bagi memastikan suara Wanita diangkat dalam membuat keputusan, merangka dasar dan menjadi wakil rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.