Shaikh Hussein Buat Laporan SPRM, Mohon Siasatan Lanjut Penerima 1MDB

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Dr Shaikh Hussein Mydin hari ini menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung dakwaan individu-individu yang menerima dana bersumber daripada 1MDB tetapi tidak diambil tindakan selanjutnya.

Beliau tiba kira-kira 11.30 pagi dan memasuki bangunan SPRM bagi menyerahkan laporan kepada agensi berkenaan.

Pada sidang media, beliau memohon siasatan yang telus dan berwibawa dapat dijalankan oleh SPRM berhubung soal berkenaan.

“Kami telah difahamkan melalui portal-portal atas talian seperti Malaysia Today bahawa terdapat lebih kurang 250 penama yang terdiri daripada individu-individu dan entiti-entiti yang difahamkan telah menerima sejumlah wang bernilai lebih daripada RM700 juta bersumber daripada 1MDB.

“Tindakan yang telah diambil oleh pihak berkuasa di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap individu-individu atau entiti-entiti yang menerima dana 1MDB ialah mereka yang dikenakan siasatan yang keras tanpa sebarang kompromi di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegah Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (“AMLA”) serta akaun mereka dibekukan dan/atau mereka dituduh di Mahkamah dan/atau diugut untuk dituduh di Mahkamah dan/atau mereka diarahkan untuk membayar kompaun yang berpadanan dengan jumlah yang diterima.

“Walau bagaimanapun, kami juga difahamkan bahawa daripada senarai yang kami lampirkan di sini, sebahagian besar daripada penama-penama tersebut telah disiasat dan tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun terdapat money trail dan bukti-bukti yang jelas menunjukkan mereka menerima dana 1MDB,” katanya.

Katanya lagi ini merupakan suatu tindakan yang berat sebelah dan tidak adil oleh pihak berkuasa ketika itu.

Justeru Dr Shaikh Hussein memohon suatu siasatan yang menyeluruh untuk mengenal pasti sama ada tindakan yang berat sebelah ini adalah hasil campur tangan ataupun arahan daripada pemimpin-pemimpin berkepentingan tertentu dari Kerajaan PH untuk melindungi penama-penama tersebut daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

“Kami juga ingin suatu siasatan dijalankan untuk mengenal pasti siapa atau jabatan mana yang memberi arahan untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap penama-penama tersebut dan kami juga ingin siasatan dijalankan untuk mengenal pasti motif-motif dan sebab-sebab arahan- arahan tersebut.

“Demi keadilan dan kedaulatan undang-undang, kami memohon supaya penama-penama tersebut dipanggil dan disiasat dengan segera serta diambil tindakan yang setimpal dan diperlakukan sama rata sepertimana tindakan-tindakan yang telah diambil ke atas mereka yang telah menerima dana 1MDB, semasa Pakatan Harapan berkuasa,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.