Saya Melayu, Orang Malaysia… Angkat Budaya Kita Di Mana-mana – PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 5 Okt – “Saya orang Melayu, saya orang Malaysia, kita ada budaya kita, kita ada bahasa kita. Di mana-mana sahaja kita berada, jati diri kita mesti kita kekalkan.”

Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menegaskan bahawa dalam persidangan antarabangsa, yang pentingnya bagaimana mesej nak disampaikan.

“Zaman moden hari ini, terjemahan boleh secara terus, secara langsung dan automatik. Setiap negara yang saya pergi, mereka tanpa segan silu bercakap bahasa mereka sendiri. Sebab, bangga dengan bahasa sendiri.

“Jadi, saya bangga dengan bahasa kita sendiri sebab itu saya bercakap dalam Bahasa Melayu. Sudah sampai masanya, kita mengangkat martabat bangsa dan bahasa kita di seluruh dunia.

“Bukan bahasa yang menjadi penentu negara itu maju atau tidak. Jadi yakinlah, bahawa Bahasa Melayu setaraf dengan bahasa-bahasa lain di dunia,” katanya yang dipetik melalui laman Facebooknya.

Pada 23 Sept lalu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO mencipta sejarah sebagai pemimpin tertinggi Malaysia yang pertama, berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada perhimpunan PBB di New York. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.