Harap SPRM Siasat Individu Menerima Wang Dari 1MDB – Shaikh Hussein

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Pulau Pinang, Datuk Dr Shaikh Hussein Mydin berharap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat lebih 250 penama daripada individu-individu yang menerima sejumlah wang bernilai lebih daripada RM700 juta yang bersumber daripada 1MDB.

Katanya, difahamkan wujud sebahagian besar penerima telah dilindungi dan meminta kesemua ini dibawa ke muka pengadilan dan menyiasat sama ada campur tangan dari Badan Eksekutif ke atas badan Kehakiman.

“Justeru itu, kami memohon suatu siasatan yang menyeluruh untuk mengenal pasti sama ada tindakan yang berat sebelah ini adalah hasil campur tangan ataupun arahan daripada pemimpin-pemimpin berkepentingan tertentu dari kerajaan Pakatan Harapan untuk melindungi penama-penama tersebut daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.”

Berikut adalah kenyataan dari Timbalan Pengerusi BPUN Pulau Pinang.

                                                     Kenyataan Media

Kami telah difahamkan melalui portal-portal atas talian seperti Malaysia Today bahawa terdapat lebih kurang 250 penama-penama yang terdiri daripada individu-individu dan entiti-entiti seperti senarai yang dilampirkan di sini (“Penama-penama tersebut”).

Penama-penama tersebut telah menerima sejumlah wang bernilai lebih daripada RM700 juta yang bersumber daripada 1MDB.

Tindakan yang telah diambil oleh pihak berkuasa di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan terhadap individu-individu atau entiti-entiti yang menerima dana 1MDB ialah mereka dikenakan siasatan yang keras tanpa sebarang kompromi di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (“AMLA”) serta akaun mereka dibekukan dan/atau mereka dituduh di Mahkamah dan/atau diugut untuk dituduh di Mahkamah dan/atau mereka diarahkan untuk membayar kompaun yang berpadanan dengan jumlah yang diterima.

Walaubagaimanapun, kami juga difahamkan bahawa daripada senarai yang kami lampirkan di sini, sebahagian besar daripada Penama-penama tersebut telah tidak disiasat dan tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun terdapat money trail dan bukti-bukti yang jelas yang menunjukkan mereka menerima dana 1MDB.

Ini merupakan suatu tindakan yang berat sebelah dan tidak adil oleh pihak berkuasa ketika itu.

Justeru itu, kami memohon suatu siasatan yang menyeluruh untuk mengenal pasti sama ada tindakan yang berat sebelah ini adalah hasil campur tangan ataupun arahan daripada pemimpin-pemimpin berkepentingan tertentu dari kerajaan Pakatan Harapan untuk melindungi penama-penama tersebut daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Kami juga ingin suatu siasatan dijalankan untuk mengenal pasti siapa atau jabatan mana yang memberi arahan untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap penama-penama tersebut dan kami juga ingin siasatan dijalankan untuk mengenal pasti motif-motif dan sebab-sebab arahan-arahan tersebut.

Demi keadilan dan kedaulatan undang-undang, kami mohon supaya penama-penama tersebut dipanggil dan disiasat dengan segera serta diambil tindakan yang setimpal dan diperlakukan sama rata sepertimana tindakan-tindakan yang telah diambil ke atas mereka yang telah menerima dana 1MDB, semasa Pakatan Harapan berkuasa.

Sekian, laporan kami. 

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.