Banjir Bukan Alasan Tangguh PRU15, Ahmad Zahid Dedah Muslihat Lawan Bantah Kerana Ditolak Rakyat

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa jentera Barisan Nasional (BN) agar bingkas menjelaskan kepada rakyat iaitu lawan BN membantah PRU-15 bukanlah kerana musim hujan.

Ini kerana katanya yang juga Pengerusi BN, muslihat sebenar lawan BN enggan berdepan PRU-15 kerana tahu mereka ditolak oleh majoriti rakyat harus diketahui masyarakat.

“Rumusannya mudah sahaja. Lawan BN tahu fitnah dan janji-janji baharu mereka tidak dapat memperdayakan rakyat lagi.

“Mereka berharap alasan musim hujan dapat terus ‘membeli masa’ untuk mengelak daripada berdepan penentuan rakyat,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya, hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, rakyat perlu dibentangkan dengan fakta lawan BN telah menolak proses demokrasi daripada dilangsungkan sejak tahun lalu.

“Bermula alasan COVID-19 masih ada ketika imuniti kelompok telah dicapai dan segala aktiviti sosial/ekonomi kembali beroperasi.

“Kemudian memberi pula alasan tidak perlu diadakan PRU-15 kerana pembangkang telah menjalin MoU dengan kerajaan.

Katanya, fakta itu penting diperjelaskan agar rakyat mampu membuat pertimbangan yang saksama dalam menilai fitnah baharu.

“Rakyat perlu difahamkan PRU-15 amat penting bagi membentuk kerajaan yang stabil dan kukuh untuk berdepan risiko bencana.

“PRU-15 amat mustahak bagi membentuk kerajaan yang berdaya mendepani ramalan kemelesetan ekonomi global tahun depan.”

Dalam hal ini, beliau memberikan kronologi auta lawan BN berkait PRU-15:

28 Mac 2021: UMNO minta PRU-15 diadakan apabila tempoh darurat tamat pada 1 Ogos 2021 bagi mengembalikan kestabilan.

1 April – 31 Ogos 2021: Mereka beri alasan Covid-19 masih ada sedangkan aktiviti sosial mahupun ekonomi telah kembali sepenuhnya. Negara telah memasuki fasa peralihan ke endemik.

13 Sept 2021: Mereka bergegas memeterai MoU dengan kerajaan selepas tarikh 1 Ogos berakhir dan menetapkan PRU-15 tidak boleh diadakan sebelum Julai 2022.

10 Mac 2022: Mereka menawarkan kerajaan lanjutan MoU dengan syarat tidak adakan PRU-15 selepas Julai 2022.

23 Mac 2022 : Mereka mengagalkan usul kerajaan melanjutkan peruntukan Akta SOSMA negara menyebabkan MoU terbatal.

24 Mac 2022: Mereka menafikan MoU telah terbatal dan menegaskan PRU-15 masih belum boleh diadakan.

1-30 September 2022: Mereka bantah PRU-15 diadakan tahun ini dengan alasan negara telah memasuki musim hujan.

2 Oktober 2022: Mereka bantah PRU-15 tahun ini kerana didakwa tidak menghormati sambutan perayaan Deepavali. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.