Lupakan Anwar, Tun M, Muhyiddin… Tokoh Politik UMNO/BN Adalah Yang Terbaik – Shamsul Anuar

 

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Rakyat diminta untuk melupakan tokoh politik pihak lawan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana ternyata tokoh politik daripada UMNO/Barisan Nasional (BN) adalah yang terbaik untuk membangunkan negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, nama-nama tersebut perlu dilupakan kerana merekalah yang menyebabkan berlakunya kecelaruan politik dan UMNO/BN mahu membawa perubahan kepada negara untuk lebih keterhadapan.

“Kepada rakyat Malaysia, kita lupakan Tun Mahathir Mohamad, kita lupakan Anwar Ibrahim dan Muhyiddin. Ini adalah tokoh yang telah menyebabkan politik negara ini bercelaru. Sesetengah daripada kita dari kecil sampailah mereka dewasa itulah nama yang ada. Itulah nama yang mereka tahu.

“Sebab itu, kita perlu lupakan mereka kerana kita mahukan pembaharuan. Malaysia mahu melangkah ke era baharu. Kita mahukan supaya parti UMNO/BN ini walaupun kita telah lama, tapi kita tentunya akan menampilkan wajah-wajah baharu sebagaimana komitmen Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, wajah-wajah baharu akan di tawarkan kepada rakyat kerana kita mahukan perubahan besar dan kita tidak mahu lagi menjadi negara yang tertinggal ke belakang.

“Untuk negara ini berada di depan, kita mesti pastikan kerajaan yang terbaik. Pilihannya tentulah UMNO/BN. Lupakanlah Tan Sri Muhyiddin, lupakan Anwar Ibrahim, lupakan Tun Mahathir kerana mereka bukan tokoh terbaik untuk rakyat Malaysia, yang terbaik adalah daripada UMNO/BN,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BNComms) itu berkata, kestabilan yang dibawa oleh UMNO/BN telah dibuktikan di negeri Melaka dan Johor apabila ekonomi negeri tersebut berkembang dengan pesat seusai Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Insya-Allah keyakinan itu kita telah terjemahkan apabila kita menang di PRN Melaka, kita tawarkan kestabilan. Daripada nombor sembilan, sudah meningkat ke nombor lima dari segi pelaburan asing. Di negeri Johor, daripada nombor lima, sudah berada di tempat pertama.

“Itu bukti kestabilan yang UMNO/BN bawa akhirnya limpahan rahmatnya dirasai rakyat bukan hanya kepada ahli UMNO tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang. Ini yang kita mahu lakukan sebab itu saya harap masanya akan tiba, maka apabila tiba waktunya nanti, berilah mandat kepada UMNO/BN,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar turut berpendapat bahawa kesiapsiagaan jentera parti mesti dipertingkatkan seiring dengan perubahan suasana politik yang berlaku pada masa kini.

“Tahap kesiapsiagaan mesti kita pertingkatkan. Kita perlu pastikan pendekatan kita berbeza kerana suasana politik sudah berubah. Kebarangkalian, kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku di luar jangkaan kita. Oleh sebab itu, sebagai jentera utama parti, kita mesti bersiap-sedia dalam semua keadaan untuk pastikan segala mesej agenda parti, menjawab isu-isu dan juga menyerang parti lawan mesti dilakukan dengan baik, betul dan berfakta.

“Kita berpegang kepada kebenaran. Setiap apa yang kita jawab mesti berdasarkan fakta, mesti berasaskan data yang tepat. Kita tidak mahu menjadi parti yang menipu rakyat. Kita bukan menjadi parti yang memfitnah untuk mendapatkan kuasa tetapi kita akan bercakap perkara yang benar.

“Ini mesej yang kita nak sampaikan kepada rakyat kerana apa yang kita lakukan ini bukan hanya untuk memastikan seluruh ahli parti dalam komponen UMNO/BN menyokong kita tetapi yang lebih penting adalah bagaimana kita mahu mempengaruhi rakyat supaya bersama dengan kita,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa UMNO/BN mahu memperbetulkan segala kesilapan yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) bagi mengembalikan keyakinan rakyat serta pelabur.

“Sebagaimana disebut oleh Pengerusi BN (Ahmad Zahid), keazaman kita adalah untuk meletakkan kembali UMNO/BN kepada kedudukan yang baik serta menjadi parti yang dominan kerana kita mahu membawa Malaysia ketahap yang lebih baik bagi memberikan keadilan kepada semua kaum di negara ini terutamanya di Sabah, Sarawak dan memperbetulkan segala kesilapan dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) sewaktu mereka mengambil alih kerajaan selama 22 bulan dahulu.

“Adalah penting untuk kita kembalikan keyakinan rakyat, keyakinan pelabur, keyakinan negara luar supaya kita mampu untuk letakkan kembali negara kita di landasan yang betul sebagaimana pun yang telah kita lakukan, tertangguh selepas kita kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14,” katanya lagi.

Beliau ditemui selepas Program Bootcamp BNComms yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Kem Permata, Melaka. Program tersebut telah disertai lebih 900 jentera dari peringkat pusat, negeri dan juga bahagian-bahagian bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi PRU yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.