Ahmad Maslan Angkat Persoalan Pasaran Modal Negara Di Parlimen

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini bertanya kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkenaan situasi semasa pasaran saham, sukuk, dan bon.

Katanya ini ekoran keadaan terkini FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang mencatat 1,400 mata.

“Selain ringgit dan inflasi bagaimana perkembangan terkini pasaran modal negara kita iaitu pasaran saham, sukuk, dan bon.

“Kebimbangan ini adalah berasaskan kepada indeks Bursa Malaysia (KLCI) berada di tahap 1,400 mata itu soalannya,” katanya.

Beliau bertanya demikian pada waktu pertanyaan menteri di Dewan rakyat, hari ini.

Menjawab persoalan tersebut Tengku Zafrul berkata sistem kewangan negara dan pasaran saham terus berfungsi dengan baik dan teratur malah sehingga kini tiada gangguan kepada pengantaraan kewangan dan aktiviti pinjaman kekal lancar.

Katanya, aktiviti perniagaan terus mendapat akses kepada pembiayaan kewangan daripada institusi perbankan juga pasaran modal.

“Namun kita perlu peka kepada perkembangan dunia yang turut memberikan kesan kepada pasaran kewangan ini termasuk peningkatan kadar faedah oleh bank pusat di Amerika Syarikat yang telah meningkatkan 300 mata asas dan dijangka akan ditingkatkan lagi kepada 4.75 peratus di hujung tahun 2023 serta langkah lebih daripada 80 bank pusat di seluruh dunia yang telah meningkatkan kadar faedah mereka.

“Secara keseluruhan menurut laporan daripada Reuters lebih dari 300 kenaikan kadar faedah telah dilaksanakan sepanjang 12 bulan yang lalu.

“Akibat daripada ini adalah dianggarkan pasaran saham di seluruh dunia telah mengalami kerugian sejumlah USD9 trilion ataupun RM41.9 trilion dan jika dilihat kerugian di pasaran bon dunia pula jumlah kerugiannya adalah lebih besar iaitu sekitar USD46 trilion atau RM214 trilion.

“Setakat hujung September ini pasaran saham Bursa yang dijangka oleh indeks KLCI telah menyusut sebanyak 11 peratus betul la apa yang dicakap oleh Pontian tdi mencecah ke tahap 1,400 namun pasaran saham di negara lain juga turut menurun,” katanya.

Beliau malah mengambil contoh negara yang mencatatkan penurunan iaitu Korea -27.6 peratus, Hong Kong -26, Amerika Syarikat -24.6, Jerman -23.7, Perancis dan Filipina dengan -19.4 dan China -16.9.

Sementara itu tambah Teng Zafrul, pasaran saham Malaysia setakat ini masih mencatatkan pelaburan asing bersih RM6.6 bilion berbanding jumlah modal luar bersih bagi keseluruhan negara membangun Asia tidak termasuk China berjumlah hampir RM313 biliion.

“Selain itu aktiviti pengumpulan dana di Bursa Malaysia kekal kukuh RM7.2 bilion setakat hujung September

“Bagi pasaran bon swasta aktiviti pembiaaan terus berfungsi dengan baik dana yang dikumpul adalah RM70 bilion pada hujung Ogos manakala bon kerajaan alhamdulillah RM118.7 bilion pada tempoh yang sama,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.