Terus Diiktiraf, Keputusan MKT UMNO 30% Calon Wanita Langkah Terbaik Perkasakan Wanita – Norshida

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim melihat keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bersetuju untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang merupakan satu langkah yang amat baik dalam memperkasakan lagi wanita di negara ini.

Pada masa yang sama, beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat turut mencadangkan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Norani Ahmad dilibatkan serta diberi ruang dalam perbincangan cadangan nama-nama calon yang bertanding kelak.

“Wanita makin diiktiraf untuk mewakili parti menjadi calon PRU selepas MKT UMNO bersetuju untuk sekurang-kurangnya 30 peratus calon Wanita diletakkan dalam pencalonan PRU15.

“Kita juga turut meyakini Ketua Wanita UMNO Malaysia dan Exco Wanita UMNO yang lain dalam menyediakan senarai cadangan calon PRU15 serta menempatkan calon-calon wanita pada kawasan bertanding yang bersesuaian. Kita juga berharap Ketua Wanita UMNO Malaysia diberi ruang bersama-sama perbincangan MKT UMNO Malaysia dalam mencadangkan calon-calon bertanding bagi PRU15,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata agenda pemerkasaan Wanita yang dibawa oleh Wanita UMNO berkaitan 30 peratus calon Wanita pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang telah dipersetujui oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Norshida seterusnya menambah sebagai tanda penghargaan kepada pimpinan parti yang mengiktiraf mereka dengan keputusan berkenaan, Wanita UMNO/BN akan bergerak dengan sebaiknya untuk membantu parti mencapai kemenangan pada PRU nanti.

“Insya-Allah kita akan bekerja dengan lebih kuat dan dengan lebih gigih. Malah Wanita UMNO/BN akan melipatgandakan lagi usaha dan gerakan sebelum ini agar parti mencatat kejayaan dengan cemerlang untuk berkhidmat kepada rakyat dan negera selepas ini. Inilah janji kami,” tambahnya.

Dalam pada itu, Norshida turut berpandangan kawasan-kawasan ‘hot seats’ tentunya akan menjadi tumpuan dan sewajarnya mana-mana pemimpin Wanita mahupun Puteri UMNO yang diyakini layak serta mempunyai kredibiliti oleh pimpinan untuk mendapat tempat di kawasan-kawasan tersebut.

“Wanita atau Puteri UMNO yang mempunyai kredibiliti dan berkelayakan dalam menabur bakti maka wajar untuk dipilih sebagai senarai cadangan calon bagi kawasan ‘hot seats’. Inilah harapan kami,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.