Shahrir Sindir Rafizi, Bila Lagi Nak Balas ‘Budi’ Tommy Thomas?

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad menyindir pemimpin Pakatan Harapan (PH) bahawa bekas Peguam Negara, Tommy Thomas terlalu banyak melakukan ‘budi’ kepada mereka terutama dalam menyelamatkan pemimpin parti itu daripada kes mahkamah.

“Bila lagi nak membalas budi Tommy yang telah selamatkan pemimpin-pemimpin PH, termasuk diri Rafizi Ramli sendiri dari perbicaraan mahkamah?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Shahrir berkata demikian sebagai reaksi apabila Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menuduh UMNO sebagai rasis kerana meminta siasatan dijalankan ke atas Tommy membabitkan buku yang dikeluarkan.

“Apabila sudah tidak ada modal, pemimpin PH akan gunakan tuduhan rasis terhadap UMNO.

“Rafizi pun sudah begitu, pakai modal politik murahan dengan menuduh UMNO gunakan isu Tommy bagi membangkitkan sentimen perkauman dikalangan orang Melayu!

“Betul-betul politik murahan dan terdesak! Murah dan politik terdesak!” katanya.

Beliau juga malah mempersoal tindakan Rafizi yang seakan mempertahan buku yang dikeluarkan oleh Tommy.

“Mengapakah Rafizi mengandaikan penulisan Tommy dalam bukunya akan bangkitkan sentimen perkauman?

“Adakah penulisan Tommy itu mencemuh dan memperlekehkan orang Melayu sehingga boleh menimbulkan kemarahan orang Melayu sahaja? Rafizi sudah buat audit forensik ke terhadap buku itu?

“Kalau hendak mempertahankan sangat buku itu sekalipun, gunalah hujah-hujah yang berfakta dan berasaskan kepada undang-undang negara bentangkanlah hasil audit forensik terhadap penulisan Tommy itu,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.