Mahiaddin Angkuh, Bongkak… Berangan-angan Nikmati Kuasa Selama-lamanya – Zaidy

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, yang mengisytiharkan Barisan Nasional (BN) /UMNO sebagai musuh utama menunjukkan beliau seorang yang sombong dan sentiasa berangan ingin menjawat Perdana Menteri kembali. 

Demikian tegasnya Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Zaidy Abdul Kadir berkaitan isu terbabit

Katanya kepada UMNO Online, Muhyiddin tidak perlu mengumumkan bahawa BN, khususnya UMNO adalah musuh utama kerana beliau sudah lama memusuhi gabungan itu.

“Kenyataan demi kenyataan dari Tan Sri Mahiaddin Yassin yang angkuh dan bongkak sejak kebelakangan ini membuktikan bahawa beliau hidup dalam imaginasi yang sentiasa berangan-angan untuk menikmati kuasa selama-lamanya.

“Sikap pemimpin PPBM terutamanya Tan Sri Mahiaddin yang mencatur taktik politik setiap hari menunjukkan bahawa mereka hanya mementingkan agenda politik mereka sahaja dan bukannya agenda untuk membantu rakyat secara keseluruhannya.

“Sepatutnya, sebagai sebuah parti yang paling kecil di dalam gabungan kerajaan, Tan Sri Mahiaddin sepatutnya berterima kasih kepada UMNO kerana parti inilah yang membolehkan beliau terus kekal dalam kerajaan,” katanya.

Dalam hal ini, Zaidy yang juga Ketua Pemuda UMNO Jempol menjelaskan bahawa rakyat semakin bijak dalam membuat perbandingan apatah lagi UMNO/BN sahaja terbukti boleh menjamin kesejahteraan rakyat berbanding parti-parti lain.

“Saya yakin rakyat semakin bijak, mampu menilai dan tidak akan mudah terpedaya dengan hasutan serta dakyah mereka.

“Hanya UMNO/BN sahaja yang mampu mentadbir kerajaan dengan baik dan kepercayaan ini pasti akan diterjemahkan di kertas undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 nanti, Insya-Allah,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.