Isu Tommy Thomas: Rafizi Tuduh UMNO Rasis… Terhutang Budi Banyak Kes Digugurkan?

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menuduh UMNO rasis lantaran membangkitkan isu laporan panel penyiasat khas terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Soal Dr Asyraf Wajdi, adakah Rafizi fikir pendakwaan terpilih dan bersifat politik sesuatu yang adil?

“Isu penyalahgunaan kuasa dalam isu perlantikan hakim tak penting bagi Rafizi. Isu kebebasan badan kehakiman dia tolak ke tepi.

“Dakwaan campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan pengadilan, Rafizi fikir ini boleh diterima?

“Yang Rafizi buat cuma menuduh UMNO rasis sebab kami bangkitkan isu laporan panel penyiasat khas terhadap Tommy Thomas, tapi yang rasis bukan kami. Ianya Tommy. Jika tak percaya, cuma tanya ‘boss’ kamu Anwar dan Majlis Profesor Negara,” tegasnya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Jelasnya, pengumuman bahawa pihak berkuasa diminta menjalankan siasatan lanjut ke atas Tommy adalah berdasarkan laporan panel penyiasat khas yang telah menjalankan siasatan selama sembilan bulan.

“Ianya bukan langkah yang sewenang-wenang atau terburu-buru. Sekiranya Rafizi masih memandang penting kedaulatan undang-undang dan institusi kehakiman, dia patut menyokong siasatan lanjut terhadap Tommy dan mendesak kerajaan mengeluarkan laporan penuh panel siasatan khas tersebut.

“Bukan sekadar menuduh UMNO rasis sahaja. Tapi itulah. Mungkin sebab Rafizi terhutang budi kepada Tommy sebab masa Tommy jadi Peguam Negara, banyak kes-kes jenayah Rafizi telah digugurkan – termasuk satu kes di mana Rafizi sudahpun disuruh bela diri.”

Katanya, kes tersebut digugurkan oleh pendakwa raya pada hari pertama Rafizi sepatutnya mula membela diri.

“Saya turut nak tanya pendapat Rafizi. Adakah Rafizi akan sokong sekiranya seorang peguam luar yang merupakan penyokong tegar UMNO dilantik sebagai peguam negara dan seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM sebagaimana dilakukan kerajaan Pakatan Harapan sebaik sahaja mereka berkuasa?

“Kenapa pula masa itu Rafizi tidak pernah bersaura? Jika UMNO buat yang sama, adakah Rafizi akan terima?” bidasnya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit