Ahmad Zahid Tegaskan Keputusan UMNO Dibuat Secara Kolektif Demi Parti, Kini Fokus PRU15

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa keputusan UMNO memecat dan menggantung keahilan beberapa ahlinya dibuat secara kolektif dan musyawarah demi kepentingan parti semata-mata.

Jelasnya, tiada mana-mana individu berkepentingan di sebalik keputusan itu, malah inilah tindakan yang diputuskan bersama demi kemaslahatan UMNO.

“Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kemuafakatan, kebersamaan serta perpaduan UMNO bergerak sehati sejiwa perlu diperkasakan.

“Sebarang anasir yang boleh memecah-belah atau mengganggu-gugat ditangani sebaik mungkin dengan respons sewajarnya.

“Begitu juga terhadap anasir dalaman yang berusaha memburuk-burukkan institusi kepimpinan parti yang menjadi benteng kepada perjuangan UMNO,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya, hari ini.

Ujarnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), jika institusi ini dilemahkan dengan anasir dalaman yang merekayasa dakyah dan tohmahan, tentunya akan merosakkan keharmonian.

“Bukan saja UMNO, badan politik lain juga melakukan tindakan yang sama bagi memastikan institusi kepimpinannya dihormati. Seperti saya katakan kini bukan masa untuk menoleh. UMNO telah mengambil tindakan dan keputusan bersama demi kepentingan parti ini.

“Apa yang telah berlaku suatu penegasan oleh parti bahawa UMNO tidak pernah tentang individu. UMNO adalah mengenai rakyat dan negara.”

Kata Ahmad Zahid, UMNO sebuah perjuangan agama, bangsa dan tanah air dan kesilapan lalu tidak boleh berulang iaitu gunting dalam lipatan perlu dikekang.

“Gerak kerja PRU15 menjadi fokus utama sehingga tiba tarikh penting itu. UMNO akan terus mara demi rakyat Malaysia!” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.