Persiapkan Jentera Pelbagai Peringkat, ‘Mood’ Siap Siaga – Sharkar

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Jentera parti pelbagai peringkat perlu mempersiapkan diri masing-masing sepertimana yang dipohon oleh pimpinan tertinggi parti dalam usaha memastikan kejayaan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata dengan beberapa keputusan besar yang diambil oleh MKT Jumaat lalu, ianya menandakan PRU makin dekat dan seharusnya semua pihak mengambil tindakan sewajarnya.

Menurut beliau selepas tewas pada PRU lalu ekoran pelbagai fitnah dan sebagainya lagi, tiada siapa pun menjangka atas kebijaksanaan pimpinan, Perdana Menteri daripada UMNO menerajui negara walaupun kerajaan campuran.

“Presiden memohon agar parti disemua peringkat terus bersiap siaga dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku khususnya untuk menghadapi PRU yang sememangnya semakin hampir.

“Tiada siapa yang dapat menyangka, diatas kebijaksanaan kepimpinan UMNO, UMNO selepas PRU14 tewas menjadi  pembangkang kerana fitnah  dan mehnah kembali menerajui negara dengan Perdana Menteri dari UMNO walaupun kerajaan campuran,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tambah Sharkar yang juga Ketua UMNO Temerloh, jalan cerita Parti UMNO seperti yang dilalui oleh Parti LDP di Jepun.

“Tewas pada PRU, dalam penggal yang sama menjadi sebahagian dari kerajaan, dan di PRU selanjutnya menang dan menubuhkan kerajaan sehingga sekarang.

“Semoga di PRU ke-15, UMNO menerusi BN akan diberi kepercayaan sekali lagi untuk memimpin negara,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.