Siasatan Terhadap Tommy Thomas Akan Dedahkan Salah Guna Kuasa Zaman PH – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris melihat siasatan lanjut berkaitan dakwaan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas akan mendedahkan salah guna kuasa zaman Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau menerusi catatan di Facebooknya, isu ini adalah serius kerana melibatkan campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan.

“Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri  Yaakob telah mengarahkan siasatan lanjut terhadap dakwaan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.

“Dalam bukunya itu, Tommy Thomas mendedahkan wujud penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan ketika zaman PH.

“Ketika zaman PH, Tommy Thomas juga telah menggugurkan tuduhan terhadap 12 kumpulan pengganas LTTE pada tahun 2020,” katanya.

Tambah Najmil pelbagai lagi kes telah digugurkan Peguam Negara sewaktu itu.

“Dengan siasatan ini, salah guna kuasa ketika zaman kerajaan PH akan didedahkan kepada rakyat.

Tahniah Perdana Menteri. Keputusan siasatan ini amat ditunggu tunggu rakyat,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.