UMNO Buka Peluang Kepada Golongan Muda, Bukan Seperti Dimomok Pihak Luar – Dira

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Khaidirah Abu Zahar menolak persepsi pihak lain yang menggambarkan bahawa UMNO tidak menerima muka baharu atau orang muda bergiat aktif dalam parti ini.

Katanya, momokan seperti itu adalah tidak benar bahkan parti menyediakan platform tersendiri kepada golongan ini termasuk membuka ruang dengan mewujudkan sayap parti terdiri daripada Pergerakan Pemuda dan Puteri.

“Elok lagi UMNO, banyak bagi peluang kepada Pemuda dan Puteri bukan seperti yang dimomokkan di luar sana.

“Parti lain berapa kali tukar presiden? 20, 30 tahun yang sudah tapi UMNO dalam tempoh tersebut berapa kali tukar? Jadi apa yang kita tidak ubah? Apatah lagi di pimpinan peringkat bahagian dan negeri, kita tukar,” katanya.

Khaidirah berkata demikian pada program Berani Benar: Mengamit Sokongan Anak Muda yang disiarkan menerusi Facebook UMNO Online.

Beliau yang memenangi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu juga berpandangan perspektif sedemikian muncul kerana pihak luar hanya fokus kepada perkembangan yang berlaku di dalam UMNO.

Ujar beliau, sedangkan limitasi yang diperkatakan tersebut berlaku dalam parti lain namun ianya tidak mendapat perhatian.

“Orang ini dia suka tengok UMNO sahaja, parti lain dia tidak ambil kisah bertukar atau tidak presiden hingga 40-50 tahun tiada siapa peduli.

“Sebab itu kita dalam UMNO ini perlu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan, lihat sangat teliti, sebab apa yang kita cakap dan buat akan menjadi bahan untuk mereka berkata,” tegas beliau.

Dalam pada masa sama Ketua Pergerakan Puteri UMNO Jasin itu berkata kestabilan dalam kerajaan adalah perkara yang mustahak dicapai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Menurut beliau, ini kerana ianya bagi memudahkan urusan kerajaan bagi meneruskan agenda membawa negara ke arah yang lebih baik.

“Stabilkan kerajaan kerana itulah juga yang memberi kesan, kita perlukan satu pentadbiran majoriti yang lebih besar.

“Kita hendak tuntut rakyat kalau boleh berikan UMNO/BN peluang supaya kita tidak perlu lagi berhadapan dengan parti pembangkang sebegini, tidak perlu tandatangan satu lagi memorandum persefahaman, tidak perlu risau sekiranya ada parti ugut.

“Jadi kita boleh buat keputusan untuk rakyat dengan lebih selesa dan tenang untuk masa hadapan yang lebih baik.

“Kerja membangkang dalam dalam ruang yang telah disediakan iaitu di Dewan Rakyat untuk berdebat manakala Dewan Negara untuk analisa jadi sudah ada pun ruang untuk pembangkang bukannya kita tutup terus pun demokrasi,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.