Pihak Lawan Cuba Bangkit Sentimen… Mahu Timbul Kegusaran UMNO/BN – Norshida

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Tindakan pihak lawan seperti Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencetuskan perang dengan UMNO/Barisan Nasional (BN) manakala Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir yang bersedia mahu menjadi Perdana Menteri semula dilihat sebagai tidak rasional.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norshida Ibrahim berkata, sentimen yang dimainkan tersebut hanya bertujuan untuk memainkan minda orang UMNO/BN khususnya pemimpin untuk merasa gentar.

“Saya rasa benda itu tidak rasional. Bagi saya, apabila Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin membuat satu pengumuman, yang seorang ini cakap UMNO/BN akan kalah, yang seorang lagi kata kalau tiada calon dia sedia menjadi Perdana Menteri, itu hanyalah satu ‘signal’ yang mungkin untuk memainkan minda orang UMNO/BN khususnya kepimpinan untuk merasa gentar.

“Sebenarnya itu tidak menjadi gentaran bagi kita. Kalau tanya saya, itu cabaran bagi kita. Cabaran kita lebih banyak lagi sebenarnya termasuk menghadapi pengundi muda dan baharu yang semakin bertambah. Ini cabaran kita,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga merupakan Ketua Wanita UMNO Segamat itu berkata, sentimen yang dimainkan oleh mereka ini hanya sekadar provokasi untuk ‘menjentik’ hati pemimpin UMNO/BN supaya merasa gusar.

“Jadi, sentimen dan dakyah tepi-tepi yang dilakukan oleh mereka dari masa ke masa hanyalah provokasi untuk ‘menjentik’ hati pemimpin UMNO/BN supaya merasa gusar. Itu yang saya nampak.

“Tetapi, kalau kita sebagai seorang pemimpin, apa yang mereka katakan itu adalah salah satu daripada cabaran untuk kita mengatasinya. Itu sebab saya cakap daripada awal lagi UMNO/BN kena mempromosikan apa yang telah kita berikan kepada rakyat selama 61 tahun. Itu adalah cara yang lebih baik.

“Kita bawa cerita yang bagus. Kita tidak perlu momokkan cerita-cerita yang menakutkan di akar umbi sebab sekarang ini kita berdepan dengan media sosial. Ini cabaran kepada anak muda,” katanya lagi.

“Kalau kita tunjukkan satu perangai ataupun satu pendirian yang tidak tegas, rakyat akan memerhati. Kita ini bukan berdepan dengan orang UMNO sewaktu pilihan raya. Pengundi kita bukan orang UMNO. Pengundi kita ialah rakyat yang memilih kita. Jadi, kita harapkan pemimpin itu lebih bijak untuk mengatasinya,” katanya lagi.

Media pada Sabtu melaporkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin mengisytiharkan bahawa UMNO/BN merupakan musuh utama mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan turut meminta rakan parti komponen untuk bergerak sebagai satu pasukan dan memiliki hala tuju yang sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan.

Manakala pada hari yang sama, Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir turut memaklumkan beliau sedia untuk kembali dilantik menjadi perdana menteri bagi kali ketiga, sekiranya terus menerima desakan dan tiada calon lain yang bersesuaian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.