Muhyiddin Tak Boleh Paksa Pas Pilih BN Atau PN, Kata Tuan Ibrahim

PETALING JAYA, 30 Sept – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin tidak seharusnya menetapkan Pas perlu memilih PN atau Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRU15.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu mahu bekerjasama dengan Bersatu dan Umno demi ‘perpaduan ummah’.

“Bagi kita, umat kena bersatu. Semua pihak, khususnya PN dan BN, untuk lihat masa depan.

“Saya fikir tak boleh ‘ultimatum’ (kata dua) bagi kita…yang penting ialah tengok masa depan. Negara ini kena stabil politik,” katanya lapor Malaysiakini.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Putrajaya, semalam.

Tuan Ibrahim berkata, masih ada masa untuk Pas menyatukan kedua-dua parti itu menjelang PRU akan datang.

Terdahulu, Muhyiddin mendakwa beliau diberi bayangan bahawa Pas akan buat keputusan muktamad, untuk memutuskan hubungan dengan Umno dalam tempoh terdekat.

Sabtu lalu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mengumumkan BN sebagai musuh utama PN pada PRU15, dengan parti komponennya perlu bergerak sebagai sebuah pasukan dan memiliki hala tuju sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan. – FMT