Menolak Bajet Samalah Seperti Menarik Sokongan Kepada PM – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 30 Sept – “Menolak Bajet samalah seperti menarik sokongan daripada Perdana Menteri.”

Demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berikutan kenyataan bekas Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P Waytha Moorthy, yang berkata pertembungan terbaharu antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin menyaksikan parti teras Perikatan Nasional (PN) tidak menyokong Bajet 2023.

Soal Dr Asyraf Wajdi, apakah ugut-mengugut seperti ini mampu memberikan persepsi dan sentimen positif kepada pemain-pemain industri dan pelabur dalam dan luar negara?

“Benar PN menyumbang 39 peratus berbanding BN hanya 34 peratus dalam Kerajaan hari ini.

“Sebab itulah lebih baik diserahkan sahaja mandat kembali kepada rakyat agar sebuah Kerajaan mutlak bermandat dapat diperolehi. Sekaligus mengembalikan kepercayaan dan keyakinan pelabur bagi memastikan ekonomi negara dapat dipacu dengan stabil demi kemakmuran rakyat,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Terdahulu, Muhyiddin ketika berucap pada sambutan ulang tahun PPBM di Putrajaya baru-baru ini, mengisytiharkan BN sebagai musuh utama PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.