Buku Tommy Thomas: MKT Sambut Baik Keputusan PM, Segera Didedahkan Laporan Siasatan

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyambut baik keputusan Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan mengarahkan siasatan lanjut dan tindakan perundangan segera dilaksanakan oleh agensi-agensi penguat kuasa bagi menyiasat salah laku bekas Peguam Negara Tommy Thomas.

Kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, mesyuarat MKT UMNO yang berlangsung malam ini juga menggesa agar Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Buku Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice In the Wilderness’” untuk segera didedahkan kepada umum.

“Ini penting bagi memulihkan imej dan integriti institusi kehakiman serta kedaulatan undang-undang negara, seperti contoh yang terdapat di dalam muka surat 342 buku tersebut yang berkemungkinan melanggar Seksyen 32 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009,” katanya dalam kenyataan yang dibacakan kepada media selepas mesyuarat terbabit.

Ujarnya, UMNO juga menjunjung titah KDYMM Sultan Johor pada 15 Mei 2022 lalu, yang mahukan laporan siasatan pasukan petugas khas dalam isu kedaulatan Batu Putih untuk segera dibentangkan dan didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan soal maruah dan kedaulatan negara.

Dalam mesyuarat yang sama, MKT menerima perletakan jawatan Tan Sri Zulhasnan Rafique sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO.

“UMNO merakamkan ucapan terima kasih atas khidmat yang telah beliau berikan. Sebagai penggantinya, mesyuarat bersetuju untuk melantik Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO yang baharu.”

Dalam perkembangan lain, MKT juga memecat Datuk Zaharin Mohd Yasin daripada menjadi ahli UMNO berkuat kuasa serta merta mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Etika Ahli UMNO di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

Selain itu, mesyuarat MKT juga mengambil maklum berkenaan kunjungan Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas bertemu dengan Presiden UMNO baru-baru ini.

Mesyuarat MKT UMNO telah berlangsung di Ibu Pejabat parti, Menara Dato Onn dengan dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.