Terap Formula A.S.K Dalam Budaya Kerja KPKT

PUTRAJAYA, 29 Sept – Formula A.S.K – Ambil Berat (A), Sentiasa Proaktif (S) dan Komunikasi (K) – perlu diterapkan dalam penyampaian perkhidmatan warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kata Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Setiap warga KPKT perlu ambil berat tentang persekitaran, tugas dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan KPKT dapat ‘merawat’ keresahan rakyat, yang merupakan pihak berkepentingan utama kementerian ini,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan KPKT di sini hari ini.

Mengimbas kembali kejadian banjir yang berlaku pada penghujung 2021, beliau berkata KPKT menerusi agensinya telah memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa banjir.

Reezal Merican berkata beliau menghargai pelbagai cadangan dan idea yang dikemukakan warga KPKT dalam apa jua platform perbincangan dan mahu ia dijadikan budaya kerja KPKT.

Beliau turut menekankan kepentingan aspek komunikasi dalam menepati jangkaan rakyat dalam persekitaran yang ‘hyper connected’ ketika ini.

“Aduan, rungutan, cadangan balas dan sebagainya terhadap dasar dan peranan KPKT adalah cara rakyat berkomunikasi dengan KPKT. Kita mesti berani berdepan dengan cabaran kerana di situlah rakyat menilai sejauh mana kita menepati ekspektasi rakyat,” katanya.

Bersempena majlis tersebut, turut berlangsung di perkarangan KPKT di sini ialah Jualan Keluarga Malaysia MyRakyat anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), yang antara lain menawarkan barangan keperluan harian seperti minyak masak dan gula. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.