Rakyat Tidak Pernah Lupa Kesengsaraan Zaman PH, PN – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Rakyat tidak akan pernah melupakan zaman pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan dan juga Perikatan Nasional (PN) selama 17 bulan di atas kerosakan yang telah mereka lakukan selama mereka berkuasa.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, rakyat tidak akan lupa mengenai janji-janji yang tidak ditunaikan oleh PH selepas mereka memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Rakyat tidak akan lupa mengenai PH, janji-janji manis yang mereka tidak tunaikan. Daripada sepuluh janji 100 hari saya rasa cuma ada satu ataupun dua sahaja yang mereka tunai dalam tempoh tersebut.

“Kalau kita buka buku Harapan (buku manifesto PH), begitu banyak sekali perkara-perkara yang team Harapan hanya tinggalkan harapan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian itu turut berkata, rakyat juga tidak akan lupa kesengsaraan pada zaman pemerintahan PN yang ‘mengurung’ rakyat terlalu lama dan melaksanakan darurat bagi mengekalkan kuasa.

“Kemudian semasa PN pula dalam masa 17 bulan lebih kurang itu kalau kita selongkar balik, ramai yang menggantung diri, bunuh diri kerana mereka merupakan kerajaan yang mengurung rakyat di rumah paling lama berbanding dengan negara-negara lain. Kemudian, ramai yang muflis. Ini semua zaman PN.

“Satu perkara penting yang jangan dilupakan semasa zaman PN, ada darurat. Mereka kata ianya darurat untuk COVID. Walhal, bukan darurat COVID tetapi darurat politik. Itu adalah penipuan terbesar sebenarnya.

“Mereka takut jatuh maka mereka adakan darurat dan parlimen tidak bersidang. Digantung. Dewan Undangan Negeri (DUN) juga digantung pada zaman mereka. Itu pada saya adalah antara penipuan politik yang terbesar di Malaysia,” katanya lagi.

Menurut Ahmad lagi, kerajaan Malaysia perlu diperkukuhkan tanpa pihak lain terutamanya PPBM bagi kepentingan rakyat dan negara.

“Sekarang ini kerajaan Malaysia perlu diperkukuh tanpa mereka terutamanya PPBM. Jadi, harapan kita ialah supaya pada PRU ke-15 akan datang kita boleh menjadi kerajaan yang benar-benar kukuh untuk menjadi magnet besar yang menarik parti-parti lain supaya Malaysia ini stabil.

“Bukan untuk kepentingan politik diri sesiapa tetapi untuk kepentingan rakyat dan negara Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.