KKM Lulus Peruntukan Segera Bina Bangunan Tambahan Di Klinik Kesihatan Dengkil

PUTRAJAYA, 29 Sept – Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan segera bagi membina bangunan tambahan untuk klinik ibu dan anak di Klinik Kesihatan Dengkil, Selangor susulan aduan orang ramai antaranya berhubung kesesakan dan waktu menunggu yang lama untuk menerima rawatan.

Ia susulan lawatan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ke klinik kesihatan itu hari ini, dan beliau turut meluluskan peruntukan untuk pembelian mesin ultrasound serta peralatan makmal seperti mesin bio-kimia bagi memastikan kelancaran proses pemberian perkhidmatan kesihatan kepada pesakit.

“Walaupun perkhidmatan diberikan baik tapi kawasan sesak, waktu menunggu lama dan parkir tidak cukup. Saya meluluskan segera bangunan tambahan untuk klinik ibu dan anak, mesin ultrasound dan biokimia. Banyak pelaburan diperlukan untuk kesihatan primer,” katanya menerusi ciapan di Twitter rasminya.

Sebelum ini orang ramai di kawasan sekitar Dengkil meluahkan kekecewaan menerusi media sosial berhubung situasi kesesakan yang berlaku di Klinik Kesihatan Dengkil susulan peningkatan jumlah pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan itu.

Khairy berkata beliau juga akan memohon kepada kerajaan untuk membina klinik kesihatan baharu di kawasan tersebut memandangkan pembinaan bangunan tambahan merupakan langkah penyelesaian jangka pendek.

“Setuju, Dengkil ada klinik kesihatan baharu. Klinik kesihatan baharu akan dimohon jua,” katanya yang akan turut mengumumkan berita baik buat warga Cyberjaya dalam masa terdekat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.