Kerjasama Pelbagai Kementerian Tingkat Kemasukan Pelajar Antarabangsa

NILAI, 29 Sept – Komitmen serta kerjasama rakan strategik daripada pelbagai kementerian penting dapat membantu Kementerian Pengajian Tinggi mencapai sasaran 250,000 kemasukan pelajar antarabangsa di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini menjelang 2025.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata perencanaan pelan, penggubalan dasar serta penentuan strategi berkesan melibatkan kementerian hendaklah seiring agar segala inisiatif dapat dilaksanakan berada pada landasan yang betul.

Katanya usaha itu perlu melibatkan pelbagai pihak antaranya Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Luar Negeri; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Jabatan Imigresen dan Education Malaysia Global Services (EMGS).

“Tenaga semua pihak diperlukan bagi menambah baik pertumbuhan pelajar dan staf antarabangsa di samping meningkatkan mobiliti inbound dan outbound. Aktiviti promosi dan kerjasama strategik juga perlu dipertingkatkan.

“Bagi mencapai sasaran kemasukan 250,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2025, ia memerlukan usaha yang lebih giat untuk kita sama-sama laksanakan,” katanya ketika berucap pada Seminar Pengajian Tinggi 2022 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Turut hadir Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, Naib Cancelor USIM Prof Ts Dr Sharifudin Md Shaarani.

Dalam majlis itu, Noraini turut merasmikan dua buku iaitu ‘Garis Panduan Pelaksanaan Program Mobiliti (Inbound) di IPT di Malaysia’ dan ‘Garis Panduan Amalan Terbaik Pengurusan Pelajar Antarabangsa untuk IPT di Malaysia’.

Noraini berkata setakat ini seramai 131,255 pelajar antarabangsa yang berdaftar dengan IPT di seluruh negara ini dan berdasarkan trend permohonan pelajar antarabangsa meningkat sehingga 32 peratus pada tahun lepas.

Pada seminar tersebut, sebanyak 44 kertas kerja dibentangkan dalam tiga sesi melibatkan 145 peserta daripada 29 IPT dalam negara dan enam IPT luar negara.

Sementara itu Sharifudin berkata seminar bertemakan ‘Melonjakkan Aspirasi Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi Yang Mampan’ itu membincangkan mengenai usaha dan keberkesanan pelaksanaan program pengantarabangsaan pendidikan tinggi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.