Ahmad Zahid Gesa Hasil Siasatan RCI Buku Tommy Thomas Didedahkan

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, laporan hasil siasatan ke atas buku memoir Tan Sri Tommy Thomas oleh Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan kerajaan wajar didedahkan kepada umum.

Ini kerana katanya, dibimbangi kontroversi `di manakah kertas siasatan kes Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali’ boleh berulang jika dipendamkan terlalu lama.

“Kebimbangan ini timbul kerana kita memahami sebahagian anggota Kabinet kerajaan campuran sedia ada adalah bekas anggota Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Anggota Kabinet terbabit pernah 22 bulan bekerjasama dan `bermuafakat’ bersama Tommy, maka dikhuatiri mungkin ada perkara yang bagi mereka wajib diselindungi,” ujar Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menerusi hantaran dalam laman facebooknya.

Tegasnya, laporan itu mustahak didedahkan kepada umum kerana rakyat Malaysia perlu mengetahui perihal sebenar membabitkan bekas Peguam Negara `lantikan politik’ tersebut.

“Laporan oleh Pasukan Petugas Khas itu juga penting kerana ia berpotensi mendedahkan tentang isu pendakwaan terpilih yang berlaku semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Juga mendedahkan tentang kemungkinan berlaku campur tangan urusan kehakiman oleh seorang bekas Perdana Menteri untuk kepentingan politiknya.

“Majlis Kerta Tertinggi (MKT) UMNO pada Ogos tahun lalu malah meminta supaya kerajaan segera menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan buku Tommy.”

Katanya, RCI itu amat penting kepada negara kerana ia mengundang tanda tanya mengenai campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan.

“Bagaimanapun kita berharap dakwaan bahawa Peguam Negara kerajaan sekarang mengesyorkan laporan akhir siasatan itu tidak didedahkan kepada umum sekadar desas-desus.

“Kita juga berharap Kabinet yang akan dibentangkan hasil siasatan tersebut dalam tempoh terdekat tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk menutup fakta tertentu,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.