Usah Jadikan Kepayahan Rakyat Kempen Politik, PH Tangguk Di Air Keruh – Yahya

JOHOR BAHRU, 28 Sept – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar membidas Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang dianggap gemar menangguk di air keruh malah berkata sikap sedemikian perlu dihentikan.

Ini berikutan Ahli Parlimen Johor Bahru dari PH-PKR, Akmal Nasir yang menjadikan lawatannya ke rumah penduduk sebagai bahan politik.

“Terima kasih YB Akmal Nasir yang sudi melawat Mak Pah. Setelah sudah hampir dua bulan, akhirnya turun juga Ahli Parlimen Johor Bahru ini ke kawasan.

“Untuk pengetahuan YB Akmal Nasir, saya sendiri sudah melawat Mak Pah pada 17 September yang lalu untuk melihat bumbung rumahnya yang bocor dan, saya sekali lagi turun pada 22 September yang lalu untuk memberi bantuan kepada Mak Pah bagi membaiki bumbung rumahnya yang bocor melalui Yayasan Bandaraya Johor Bahru.

“Saya sedar, PRU 15 sudah makin hampir. Namun, saya nasihatkan YB Akmal Nasir, usahlah kita jadikan kepayahan hidup rakyat Johor Bahru sebagai kempen politik kita,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Tegas Yahya, gaya politik YB Akmal Nasir yang menangguk di air yang keruh ini perlu dihentikan malah lebih baik bantu rakyat Johor Bahru secara ikhlas dan bersama supaya kebajikan semuanya terjamin.

“Insya-Allah, kami di UMNO Johor Bahru akan terus komited untuk memastikan nasib rakyat Johor Bahru terpelihara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.