Muhyiddin Lupa… Sebahagian Besar Masalah Negara Berpunca Dari PN – Khaled

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah lupa bahawa sebahagian besar masalah yang Kerajaan hadapi sekarang adalah berpunca dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ini kerana katanya, Muhyiddin berhak mengemukakan segala pandangan dan terpulang kepada Kerajaan untuk mempertimbangkannya.

“Beliau berhak mengemukakan segala pandangan terhadap Kerajaan. Terpulang kepada Kerajaan untuk mempertimbangkannya.

“… dan Kerajaan mempunyai pelbagai aspek yang harus diambil kira. Hanya kerana cadangan tersebut datang dari MPN maka tidak semestinya dilaksanakan secara automatik,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut Mohamed Khaled, Muhyiddin perlu bertindak dalam semangat kolektif dan tidak hanya menunding jari kepada mana-mana pihak.

“Beliau harus bertindak dalam semangat kolektif. Beliau adalah sebahagian dari Kerajaan.

“Sikap menuding jari ini jelas menunjukkan beliau hanya mampu menyalahkan orang lain atas kelemahan cadangan dan hasil kerjanya,” katanya lagi.

Mohamed Khaled turut mengingatkan Muhyiddin supaya jangan bersikap ‘baling batu sembunyi tangan’ dan percaya bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sedang memberikan yang terbaik dalam berhadapan dengan masalah negara.

“Beliau seolah lupa bahawa sebahagian besar masalah yang Kerajaan hadapi sekarang ini adalah diwarisi dari Kerajaan PN.

“Jadi, janganlah bersikap ‘baling batu sembunyi tangan’. Saya percaya PM dan anggota kerajaan serta kakitangan awam sedang mencuba memberikan yang terbaik bagi berhadapan dengan segala masalah negara,” katanya lagi.

Pada minggu lalu media melaporkan, Muhyiddin secara terbuka membidas kepimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri, yang dilihatnya tidak memandang semua isu membelenggu negara ketika ini termasuk inflasi, kekurangan tenaga kerja dan kemerosotan nilai ringgit sebagai sesuatu yang penting.

Namun kenyataan Muhyiddin mengundang spekulasi daripada pelbagai pihak kerana beliau selaku Pengerusi MPN seharusnya membantu dalam menguruskan ekonomi negara.

Tambahan pula, menteri-menteri yang bertanggungjawab untuk menguruskan ekonomi negara datang daripada parti mereka sendiri (PPBM). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.